Kastam Sabah rampas minuman keras, rokok seludup bernilai RM8.88 juta
Abdul Hafiz Mustadi
September 22, 2022 14:57 MYT
September 22, 2022 14:57 MYT
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas tiga kontena berisi rokok serta minuman keras bernilai RM8.88 juta termasuk duti dan cukai Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Ketiga-tiga kontena yang dibawa masuk dari luar negara itu diisytiharkan sebagai barangan lain sebelum berjaya dikesan hasil penilaian risiko dan imej mesin pengimbas.
Menurut Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Cheong Yu Min, rampasan pertama dilakukan pada 10 September lalu melibatkan sbuah kontena yang membawa 10.2 juta batang rokok.
"Pegawai serbuan telah membuat penahanan terhadap sebuah kontena disyaki berisi rokok yang cuba diseludup masuk di Pelabuhan Sepanggar.
"Hasil pemeriksaan awal ke atas kontena yang ditahan tersebut dianggarkan mengandungi sejumlah 10,200,000 batang rokok putih yang disyaki barang larangan dengan anggaran nilai harga sebanyak RM980,000 manakala anggaran nilai duti dan cukai sebanyak RM6,823,800," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Katanya, rampasan kedua pula dilakukan pada 18 September apabila dua kontena berisi keseluruhan lebih 50 ribu liter minuman keras dikesan.
"Hasil pemeriksaan ke atas dua buah kontena yang ditahan tersebut mengandungi sejumlah 52,272 liter minuman keras jenis bir pelbagai jenama disyaki barang larangan dengan anggaran nilai harga sebanyak RM261,360 manakala anggaran nilai duti dan cukai terlibat adalah sebanyak RM816,750," katanya.
Tambah beliau, modus operadi ialah dengan mengikrar dagangan import sebagai barang lain bagi tujuan menyeludup dan mengaburi mata pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (a) Akta Kastam 1967.