Kastam Sabah rampas minuman keras, beras seludup bernilai lebih RM500,000

Mirlen Axtius
Februari 24, 2023 16:07 MYT
Ketiga-tiga kontena yang dibawa masuk dari luar negara itu diisytiharkan sebagai barangan lain sebelum berjaya dikesan hasil penilaian risiko dan imej mesin pengimbas.
KOTA KINABALU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Sabah merampas tiga buah kontena berisi minuman keras dan beras yang disyaki cuba diseludup masuk ke dalam negara dengan anggaran nilai RM536,046 termasuk duti dan cukai Pelabuhan Sepanggar, Kota Kinabalu.
Ketiga-tiga kontena yang dibawa masuk dari luar negara itu diisytiharkan sebagai barangan lain sebelum berjaya dikesan hasil penilaian risiko dan imej mesin pengimbas.
Menurut Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Sabah, Mohd Nasir Deraman, rampasan pertama dilakukan pada 22 Februari lalu sekitar 9.15 pagi melibatkan sebuah kontena yang membawa lebih 20 ribu liter minuman keras jenis bir.
"Pasukan serbuan terdiri daripada anggota di bawah Cawangan Siasatan Khas, Cawangan Import Eksport Pelabuhan Sepanggar dan Unit Operasi Penguatkuasaan Kota Kinabalu telah membuat penahanan terhadap sebuah kontena disyaki berisi minuman keras yang cuba diseludup masuk melalui Pelabuhan Sepanggar.
"Hasil pemeriksaan awal terhadap kontena yang ditahan, pasukan serbuan kastam telah menjumpai sebuah kontena dianggarkan mengandungi sejumlah 23,520 liter minuman keras jenis bir dengan anggaran nilai harga RM85,200 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM 346,500," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Rampasan kedua pula dilakukan pada hari yang sama sekitar jam 9.30 pagi apabila dua kontena disyaki berisi beras.
"Hasil pemeriksaan awal terhadap kontena-kontena yang ditahan, pasukan serbuan kastam telah menjumpai sebuah kontena dianggarkan mengandungi sejumlah 20,500 kilogram (kg) beras dengan anggaran nilai harga RM 37,500 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM20,250.
"Manakala sebuah lagi kontena yang dijumpai dianggarkan mengandungi sejumlah 20,500 kg beras pulut disyaki barang larangan dengan anggaran nilai harga RM 35,300 dan anggaran nilai duti serta cukai terlibat berjumlah RM 11,296.00," katanya.
Tambah Mohd Nasir, modus operandi bagi kedua-dua kes tersebut adalah membuat pengikraran palsu dengan mengikrar dagangan import sebagai barangan lain seperti kacang soya dan kacang hijau bagi tujuan penyeludupan sekali gus mengaburi mata pihak berkuasa.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1) (a) dan 52 Akta Kastam 1967.
#minuman keras #seludup #Beras seludup #Kastam Sabah
;