Kastam rampas rokok seludup nilai cukup RM7 juta

Bernama
Julai 18, 2017 17:04 MYT
ZULKIFLI: Pihak kastam turut menahan tujuh lelaki warga tempatan dan sembilan lelaki warga asing berusia lingkungan 22 hingga 47 tahun.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Negeri Sembilan merampas 8.98 juta batang rokok seludup jenama 'SAAT' dengan nilai cukai RM7 juta, iaitu rampasan terbesar di negeri ini bagi tahun ini.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Zulkifli Yahya berkata rampasan itu dibuat di jeti persendirian di Port Dickson dekat sini kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada 11 Julai lepas.
"Pihak kastam turut menahan tujuh lelaki warga tempatan dan sembilan lelaki warga asing berusia lingkungan 22 hingga 47 tahun," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Zulkifli berkata semasa rampasan dibuat, sebahagian rokok tersebut telah dipunggah masuk ke dalam sebuah lori manakala selebihnya masih berada di atas kapal yang berkapasiti 168 tan.
"Siasatan awal kami mendapati kapal ini yang datang dari Singapura sepatutnya berlabuh di Medan, Indonesia. Sebaliknya, kapal ini telah mengubah laluan ke jeti persendirian di Port Dickson untuk melakukan kegiatan penyeludupan," katanya.
Beliau berkata kesemua suspek didakwa di Mahkamah Port Dickson semalam dan perbicaraan ditetapkan pada 17 Ogos ini.
-- BERNAMA
#Datuk Zulkifli Yahya #Jabatan Kastam Diraja Malaysia #rokok #seludup #Zulkifli Yahya
;