Kastam rampas rokok seludup bernilai RM7.25 juta
Raja Hisyam Raja Zaid
Januari 14, 2019 21:40 MYT
Januari 14, 2019 21:40 MYT
Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok selepas merampas 9.7 juta batang rokok seludup bernilai RM7.25 juta termasuk cukai.
Rampasan berkenaan dilakukan pada 4 Januari lalu di Lapangan Pemeriksaan Kontena Penguatkuasa Pelabuhan Klang.
"Dalam operasi kira-kira pukul 12.45 tengah hari, kita telah memeriksa sebuah kontena dan hasil pemeriksaan, kita telah menemukan rokok putih yang diseludup masuk ke negara ini berjenama John D-Blend dan Canyon.
"Kuantiti rokok yang dirampas ialah 9.7 juta batang melibatkan nilai dianggarkan RM776,000," katanya dalam satu sidang media pada Isnin.
Jelasnya, kontena tersebut membuat pengikraran palsu pada borang Kastam dengan mengisytiharkan barang berkenaan sebagai sarung tangan, aksesori telefon dan peralatan memasak.
Turut ditahan seorang lelaki berusia 35 tahun yang dipercayai menjadi ejen penghantaran.
Lelaki berkenaan disiasat di bawah seksyen 135(1)(v)(aa) Akta Kastam 1967 dan juga Seksyen 74(1)(c)(iv)(A) Akta Eksais 1967.
Terdahulu, pada 2 Januari lalu, pihak JKDM juga berjaya mematahkan sindiket penyeludupan 'Chewing Tobacco' dalam satu serbuan di Meru, Klang dan menahan seorang warga India dan tiga warga Pakistan.
"Dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang, kita menemui 'chewing tobacco' pelbagai jenis dengan nilai rampasan berjumlah RM387,355 serta membabitkan cukai bernilai RM435,845,” kata beliau.
"Turut dirampas sebuah mesin yang dipercayai digunakan untuk membungkus 'chewing tobacco' sebelum ia dijual untuk pasaran tempatan," katanya.
#Chewing Tobacco
#India
#JKDM
#kastam
#Kastam Diraja Malaysia
#Klang
#Malaysia
#operasi
#Pakistan
#Pelabuhan Klang
#rokok