Kastam rampas rokok putih RM3.206 juta
Bernama
September 29, 2023 16:00 MYT
September 29, 2023 16:00 MYT
KUANTAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 24,000 karton rokok seludup dengan anggaran cukai RM3.206 juta, yang merupakan rampasan terbesar di Pahang setakat ini.
Pengarah JKDM Pahang Mohd Asri Seman berkata rokok tersebut dirampas pada pemeriksaan terhadap sebuah lori lapan tan di kilometer 57.6 Lebuhraya Kuantan-Segamat, Pekan, dekat sini pada 2.20 petang 13 Sept lepas.
"Pemeriksaan oleh Bahagian Penguatkuasaan terhadap lori yang dalam perjalanan dari pantai timur ke selatan itu menemukan 4.8 juta batang rokok putih dianggarkan bernilai RM384,000 dengan jumlah duti yang dianggarkan RM3.206 juta.
"Sehubungan itu, pemandu lori yang berusia dalam lingkungan 40-an dan lori berkenaan ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967," katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Mohd Asri berkata pihaknya percaya kegiatan itu dilakukan oleh sindiket penyeludupan rokok yang aktif bergerak menggunakan Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Kuantan-Segamat untuk diedarkan di selatan.
"Kita percaya modus operandi mereka adalah bergerak pada waktu puncak dan bukannya pada waktu malam bagi mengaburi pihak berkuasa daripada dikenakan tindakan," katanya.
-- BERNAMA