Kastam rampas Range Rover bernilai hampir RM2 juta tiada AP
Bernama
April 1, 2024 16:51 MYT
April 1, 2024 16:51 MYT
SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Zon Tengah menyita sebuah kereta mewah jenis Land Rover Range Rover SV Auto yang tidak mempunyai permit import (AP) dianggarkan bernilai hampir RM2 juta di Kompleks MasKargo, Free Commercial Zone (FCZ), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Isnin lepas.
Penolong Ketua Pengarah Kastam (Zon Tengah Selangor) Norlela Ismail berkata kenderaan itu diperiksa pada kira-kira pukul 4 petang hasil insitiaf pegawai kastam di kompleks berkenaan, kerana dipercayai diimport tanpa AP daripada Kementerian Pelaburan Perdagangan Dan Industri (MITI).
Beliau berkata siasatan awal mendapati kereta itu dipercayai dibawa dari negara Eropah.
"Nilai dagangan yang disita dianggarkan RM1,097,300 yang melibatkan jumlah duti atau cukai yang dianggarkan RM1,884,000," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Nurlela berkata kenderaan itu dibawa ke pejabat penguatkuasaan kastam KLIA untuk siasatan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1(a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport kenderaaan motor pasang siap tanpa permit.
-- BERNAMA