Kastam rampas enam guni ganja bernilai RM420,000 dicampak ke laut
Adie Sufian Zulkefli
Februari 19, 2024 13:31 MYT
Februari 19, 2024 13:31 MYT
ALOR SETAR: Tindakan mencurigakan sebuah bot nelayan yang memunggah barangan berhampiran Jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Sungai Berembang di Kuala Perlis, Khamis lalu membongkar penemuan enam karung guni mengandungi 120 ketulan mampat dadah jenis ganja.
Tindakan itu berjaya dikesan sepasukan anggota penguat kuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Alor Setar yang melakukan pemantauan dan risikan di sekitar kawasan itu selepas menerima maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dadah di situ.
Ketika serbuan dilakukan, pasukan mendapati bot terbabit memunggah enam karung guni yang dicampak ke pantai berdekatan Jeti LKIM Sungai Berembang.
Pengarah Kastam Kedah, Nor Izah Abdul Latif berkata, selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa, bot nelayan itu memecut laju meninggalkan kawasan pantai berkenaan.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan dalam enam karung guni itu menemui 120 ketulan mampat disyaki dadah jenis ganja (cannabis).
"Anggaran berat kira-kira 120 kg dan nilai pasaran bagi ketulan dadah jenis ganja itu dianggarkan bernilai RM420,000.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952," katanya dalam sidang media di Kompleks Kastam Alor Setar, di sini, pada Isnin.
Nor Izah berkata, dadah jenis ganja ini dipercayai diseludup dari negara jiran dan dibawa masuk secara haram melalui jalan laut dengan menggunakan bot nelayan.
Beliau berkata, ia bertujuan untuk mengelak dari dikesan oleh pihak berkuasa.
"Dadah ini akan diedarkan di kawasan pesisir pantai Kuala Perlis/ Kuala Sanglang untuk pasaran tempatan.
"Berdasarkan jumlah berat dadah yang diperolehi, rampasan itu berjaya membanteras daripada diedarkan kepada 600,000 orang penagih," katanya.
Nor Izah berkata, berkemungkinan guni yang dicampak itu akan diambil oleh pihak ketiga namun ketika serbuan dilakukan tiada tangkapan dilakukan.
Katanya, pihaknya akan menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu.
Dalam pada itu, Nor Izah berkata, JKDM Kedah sangat komited dalam membanteras dan mengekang aktiviti penyeludupan di negeri ini.
Beliau berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 547 kertas siasatan dibuka untuk menyiasat pelbagai kesalahan penyeludupan di bawah Akta Kastam 1967.
"Keseluruhan nilai rampasan dianggarkan bernilai RM11.928 juta dan duti cukai yang terbabit dianggarkan bernilai lebih RM8.19 juta.
"Bagi dua bulan dalam tahun ini sehingga 15 Februari lalu, sebanyak 57 kertas siasatan dibuka dan disiasat untuk pelbagai kesalahan penyeludupan di bawah Akta Kastam 1967.
"Manakala dua kes sedang disiasat di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ini menjadikan jumlah nilai rampasan yang terbabit adalah sebanyak RM1.012 juta dan duti cukai yang terbabit dianggarkan sebanyak RM538,257," katanya.