Kastam rampas dadah bernilai RM5.6 juta di Lapangan Terbang Sandakan
Bernama
Mac 3, 2018 14:07 MYT
Mac 3, 2018 14:07 MYT
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 102.99 kilogram syabu bernilai kira-kira RM5.6 juta daripada lima lelaki di Lapangan Terbang Sandakan pada Selasa lepas.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata kesemua suspek yang berusia 19 hingga 26 tahun dan berasal dari Semenanjung itu ditahan pada 9.35 pagi selepas tiba dari Kuala Lumpur.
Dadah tersebut yang disorokkan di dalam bagasi yang dibawa oleh setiap suspek dikesan menerusi mesin pengimbas di kaunter pemeriksaan balai ketibaan, katanya pada sidang media, di sini hari ini.
Menurutnya syabu terbabit ditemui berbalut empat lapisan plastik, kertas logam, kertas karbon dan kajang aluminium dipercayai bagi mengelakkan dikesan mesin pengimbas.
"Kita ada mesih pengimbas canggih dapat mengesan bungkusan dadah dalam beg bagasi, selain pengurusan risiko mengenal pasti gerak geri penumpang yang meragukan," katanya.
Sehubungan itu katanya kelima-lima lelkai tersebut ditahan dan kemudian direman 12 hari bagi membantu siasatan menurut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Subromaniam berkata kes itu adalah yang kedua bagi JKDM Sabah tahun ini melibatkan cubaan penyeludupan melalui jalan udara.
Beliau juga berkata kes itu menunjukkan trend penyeludup dadah kini menggunakan penerbangan domestik berikutan pemeriksaan ketat yang dikenakan bagi perjalanan antarabangsa.
Penyeludup beranggapan perjalanan domestik kurang berisiko kerana pemeriksaan tidak seketat perjalanan antarabangsa, katanya.
Bagaimanapun kata Subromaniam, JKDM telah mengeluarkan arahan agar pemeriksaan ketat dilakukan terhadap penumpang yang menaiki penerbangan domestik, khususnya dari Kuala Lumpur ke Sabah dan Sarawak.
-- BERNAMA