Kastam rampas 6,990,000 batang rokok seludup di Gua Musang, Tumpat
Bernama
Mei 22, 2023 15:11 MYT
Mei 22, 2023 15:11 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kelantan berjaya merampas 6,990,000 batang rokok seludup bernilai RM805,200 dalam tiga serbuan berasingan di Gua Musang dan Tumpat, minggu lalu.
Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata serbuan di Gua Musang dilakukan pada hari Khamis lepas, manakala dua rampasan lagi di Tumpat dibuat pada hari Sabtu, dan semua rokok berkenaan melibatkan duti/cukai berjumlah kira-kira RM4.6 juta (RM4,693,920).
Beliau berkata serbuan di Gua Musang melibatkan rampasan 4,940,000 batang rokok, manakala yang kedua di Tumpat melibatkan 1,250,000 batang rokok, dan rampasan ketiga juga di Tumpat melibatkan 800,000 batang rokok.
"Anggota operasi turut menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 42 tahun dan merampas tiga lori," katanya pada sidang media di Wisma JKDM Padang Bongor, di sini, hari ini.
"Siasatan awal mendapati modus operandi yang digunakan ialah dengan membawa masuk rokok-rokok seludup itu dari negara jiran melalui jalan laut dan sungai untuk dipasarkan ke luar Kelantan, dan ketiga-tiga kes ini disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.
Katanya jika disabit kesalahan pesalah boleh dikenakan denda tidak kurang dari sepuluh kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar atau 20 kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar.
"Mereka yang didapati bersalah boleh dipenjarakan tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya bagi kesalahan pertama," katanya.
-- BERNAMA