Kastam Pulau Pinang rampas rokok seludup RM10 juta dari Vietnam

Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 21, 2022 15:43 MYT
Antara barangan rampasan melibatkan 1,358 kotak yang mengandungi 13.5 juta batang rokok bernilai RM1.1 juta dengan cukai RM9.1 juta.- Foto Astro AWANI
PERAI: Rokok seludup dari Vietnam bernilai RM10 juta berjaya dirampas Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang dalam serbuan di Bukit Mertajam, 4 Oktober lalu.
Pengarah JKDM negeri, Hamisan Kalip berkata rampasan dilakukan selepas suspek didapati memalsukan dokumen kastam dengan mengisytiharkan barang seludup sebagai kertas tisu.
Katanya susulan itu, Unit Operasi Bahagian Penguatkuasaan Dan Cawangan Siasatan Khas Zon Utara Pulau Pinang telah membuat serbuan di sebuah gudang pada jam 6.30 petang.
Hasil pemeriksaan menemui dua buah lori 'bonded' yang sarat dengan rokok dipercayai dari Vietnam.
Hamisan berkata, rampasan melibatkan 1,358 kotak yang mengandungi 13.5 juta batang rokok bernilai RM1.1 juta dengan cukai RM9.1 juta.
“Modus operandi penyeludupan adalah dengan memalsukan dokumen kastam untuk mengeluarkan kontena daripada pelabuhan dan mereka ini memanipulasikan borang-borang kastam, terdapat lima orang suspek ditangkap di tempat kejadian dan telah dituduh di mahkamah,” katanya hari ini.
Sementara itu, di dalam gudang pula pihaknya turut menjumpai minuman keras dan mercun yang dipercayai diseludup dalam kontena yang sama.
Rampasan membabitkan 21,000 tin minuman keras bernilai RM237,274 termasuk cukai dan juga tujuh karton yang mengandungi 280 peket mercun bernilai RM1,848 juga dirampas dalam gudang terbabit.
Semasa serbuan lima suspek berusia lingkungan 35 hingga 46 tahun dipercayai buruh yang sedang memunggah barang dari kontena telah ditahan dan kes itu sudah di tuduh di mahkamah.
#kastam Pulau Pinang #palsu dokumen kastam #rokok seludup #rampasan kastam
;