Kastam Pulau Pinang rampas dadah bernilai RM1.48 juta
Bernama
September 10, 2013 18:30 MYT
September 10, 2013 18:30 MYT
Jabatan Kastam Diraja Malaysia Pulau Pinang merampas 7.401 kilogram syabu bernilai RM1.48 juta dalam satu operasi di kawasan perairan Sungai Batu, Teluk Kumbar dekat sini awal pagi Isnin.
Pengarahnya Datuk Zulkifli Yahya berkata hasil risikan dan maklumat awam mengenai aktiviti penyeludupan dadah, sepasukan pegawai dan anggota Kastam Unit Marin membuat pemantauan menggunakan sebuah bot di Sungai Batu pada pukul 4 pagi.
"Semasa pemantauan dilakukan di perairan Sungai Batu, kita telah mengesan sebuah bot berenjin dalam keadaan mencurigakan dan pasukan kita mengarahkan mereka yang berada di dalam bot itu memberhentikannya.
"Bagaimanapun arahan itu tidak dipatuhi dan mereka terus memecut laju dan kita mengejar sehingga ke kawasan pantai berbatu," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Katanya sebaik sampai ke kawasan pantai, tiga lelaki yang berada di dalam bot berkenaan berjaya melarikan diri ke kawasan hutan yang terdapat di pesisiran pantai itu.
"Pegawai dan anggota kita gagal mengejar mereka kerana keadaan yang gelap di kawasan berkenaan. Dalam operasi itu tiga anggota Kastam Unit Marin turut mengalami kecederaan ringan berikutan terjatuh atas batu dan sebagainya semasa mengejar mereka," katanya.
Zulkifli berkata hasil pemeriksaan di dalam bot berkenaan, pihaknya menjumpai satu bungkusan hitam berisi tujuh ketul bungkusan kecil dipercayai dadah jenis syabu seberat 7.401 kilogram dan bernilai RM1.48 juta.
Katanya bot dan dadah itu dirampas untuk siasatan lanjut.
"Siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti pemilik bot dan mereka yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan dadah itu. Setakat ini kita belum tahu dadah itu dibawa dari mana dan untuk diedar di mana," katanya.