Kastam patahkan sindiket seludup bahagian haiwan liar RM80 juta, nilai rampasan terbesar dalam sejarah
Rahimah Abdullah
Julai 18, 2022 17:15 MYT
Julai 18, 2022 17:15 MYT
PELABUHAN KLANG : Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Selangor berjaya mematahkan sindiket penyeludupan gading gajah, tanduk badak sumbu, sisik tenggiling, taring harimau, tanduk, tengkorak serta tulang haiwan membabitkan sebuah kontena di Pelabuhan Klang pada 10 Julai lalu.
Kesemua barangan itu bernilai RM80 juta tanpa cukai sekali gus menjadikannya sebagai jumlah terbesar direkodkan JKDM membabitkan bahagian haiwan liar.
Ketua Pengarah Kastam Malaysia, Datuk Zazuli Johan berkata, Pasukan Operasi Darat telah memantau pergerakan kapal yang membawa tiga buah kontena berisiko dipercayai berasal dari Afrika dan tindakan pemeriksaan saringan menggunakan mesin pengimbas sebuah kontena disyaki membawa barang larangan.
Menurut beliau, pemeriksaan fizikal yang dilakukan ke atas kontena itu mendapati kesemua barangan larangan itu disorok di belakang timbunan kayu bergergaji.
"Pemeriksaan mendapati gading gajah dianggarkan seberat 6,000 kilogram (kg), tanduk badak sumbu dianggarkan seberat 29 kg, sisik tenggiling dianggarkan seberat 100 kg, tanduk haiwan
dianggarkan seberat 14 kg dan tengkorak serta tulang haiwan dianggarkan seberat 300 kg," katanya dalam sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, di sini, pada Isnin.
Beliau berkata, sindiket penyeludupan itu dipercayai dalam perjalanan untuk dibawa masuk ke Pasir Gudang Johor sebelum dipasarkan ke lokasi lain.
Katanya, kesemua barangan itu merupakan barang yang dilarang pengimportannya di bawah Jadual Ketiga Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 (Akta 686) kecuali dengan permit yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Beliau berkata, tiada tangkapan dilakukan, namun, siasatan ke atas pengimport dan ejen perkapalan masih dijalankan.
Kes sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 iaitu cubaan mengimport barang tidak berkastam atau apa-apa barang larangan di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.
Jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang dari 10 kali nilai barang atau RM100,000 yang mana lebih besar dan tidak lebih dari dua puluh kali nilai barang atau RM500,000 yang mana lebih besar, atau dipenjarakan tidak kurang dari enam (6) bulan dan tidak melebihi lima 5 tahun atau kedua-duanya sekali.
Dalam pada itu, Kementerian Kewangan Malaysia telah membekalkan sebanyak enam unit mesin pengimbas baharu di Pelabuhan Klang yang dipasang secara berperingkat dari bulan November 2021 hingga Mei 2022.
Sehingga kini, Unit II (Selangor) telah berjaya menyelesaikan 106 kes dan memungut ketirisan hasil sebanyak RM928,729.08 melalui saringan mesin pengimbas baharu.
Sebanyak 18 kes tidak termasuk kes harini, masih dalam siasatan dimana nilai yang dianggarkan adalah RM3,107,000.00 dan jumlah duti atau cukai yang terlibat adalah dianggarkan sebanyak RM13,793,813.00.