Kastam patahkan cubaan seludup, rampas barangan RM80 juta menerusi CBM
Astro Awani
September 22, 2016 20:20 MYT
September 22, 2016 20:20 MYT
Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjaya mematahkan cubaan menyeludup pelbagai barangan bernilai RM80 juta termasuk cukai di dua pintu sempadan negara.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan & Pematuhan), Datuk Subromaniam Tholasy, berkata rampasan dilakukan hasil Koordinasi Pengurusan Sempadan (CBM) di Pelabuhan Sepanggar, Sabah dan Bangunan Sultan Iskandar, Johor yang dilancarkan sejak dua bulan lalu.
Menurutnya, barangan rampasan seperti rokok, minuman keras, tayar dan beras diseludup dalam 106 kontena yang melalui pintu masuk terbabit dikesan melalui mesin pengimbas.
"Kalau dulu, kita selalu dibolosi kerana kita hanya tempatkan pegawai penguatkuasa di barisan hadapan yang menguruskan proses import dan eksport.
"Mereka sebagai pegawai penguatkuasa hanya bertindak selepas berlaku kes dan selepas adanya (CBM) ditubuhkan, mereka akan terlebih dahulu dapat mengesan barangan yang diseludup.
"Dalam dua bulan sahaja kita sudah berjaya menahan 106 kontena," katanya ketika sidang media di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini hari ini.
Sementara itu, Subromaniam berkata, CBM dilancarkan serentak di empat negeri di utara melibatkan lima pintu masuk sebelum dilaksanakan sepenuhnya di seluruh negara hujung tahun ini.
Selain itu, Jabatan Kastam Diraja Malaysia juga akan menerima beberapa lagi mesin pengimbas untuk digunakan dalam mengekang aktiviti penyeludupan.
#Bukit Kayu Hitam
#ICQS
#Jabatan Kastam Diraja Malaysia
#kastam
#Kastam dan Kuarantin dan Keselamatan
#Kompleks Imigresen