Kastam Melaka mematahkan cubaan seludup arak

Astro Awani
Februari 27, 2014 18:24 MYT
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili (dua, kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang akhbar mengenai rampasan arak dan rokok oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM). --Foto BERNAMA
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Berjaya mematahkan cubaan menyeludup 189,912 tin minuman keras pelbagai jenama di Pelabuhan Pasir Gudang, Johor.
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Datuk Matrang Suhaili berkata pada kejadian jam 5.30 petang 21 Februari lalu, pihaknya menghidu tindakan seorang lelaki berusia 30-an yang mengikrar empat kontena dengan muatan garam kasar bagi mengaburi penguatkuasa.
Siasatan awal mendapat pengimportan itu diuruskan oleh agen penghantaran di Johor melibatkan nilai cukai berjumlah RM1.1 juta.
Antara yang dirampas Carlsberg Beer, Carlsberg Beer Special Brew dan Danish Royal Stout bernilai RM277,012.14.
“Sebelum rampasan dilakukan pegawak kenalpasti kontena disyaki tersebut apabila konsaimen hendak ikrar dikeluarkan dari pelabuhan. Pegawai kami mengambil tindakan untuk menahan dan merampas. Setelah melakukan pemeriksaan didapati terbukti apa yang diikrar itu tidak betul,” kata Matrang pada sidang media yang turut dihadiri Pengarah JKDM negeri, Datuk Saadon Mohd Deros di Wisma Kastam, Ayer Keroh.
Tambahnya penahanan yang mendakwa sebagai ejen penghantaran itu juga dilakukan bagi mengenalpasti syarikat konsaimen terlibat bagi urusan pengimportan minuman keras yang dipercayai bagi pasaran kawasan Lembah Klang.
Sementara itu, JKDM negeri terdahulu menyerbu sebuah rumah yang menempatkan minuman keras berkualiti tinggi pelbagai jenama termasuk yang bernilai RM3,000 sebotol di Taman Kota Laksamana pada 21 Januari lalu.
Dipercayai semua minuman keras pelbagai jenama termasuk Johnnie Walker, Hennessy VSOP dan Royal Salute 21-year-old Scotch Whisky itu adalah bagi pasaran sempena sambutan Tahun Baru Cina bernilai RM100,000 dengan cukai jualan RM350,000.
Empat lelaki berusia 49 hingga 65 tahun turut ditahan bagi siasatan lanjut.
Menurut Matrang serbuan di sebuah premis di kawasan perindustrian Pulau Sebang, Alor Gajah juga membawa kepada rampasan 252,000 batang rokok putih pelbagai jenawa bernilai RM12,640 dengan anggaran nilai duti dan cukai mencecah RM133,352.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1) (D) Akta Kastam 1975 kerana memiliki barangan larangan.
#cubaan menyeludup #JKDM #minuman keras #Pasir Gudang #Rokok putih
;