Kastam Malaysia, Indonesia rampas 247.9 kg dadah dalam operasi besar-besaran

Bernama
Ogos 29, 2024 19:45 MYT
Tindakan penguatkuasaan melibatkan operasi terkoordinasi untuk memutuskan rangkaian pengedaran dadah di beberapa kawasan sempadan kedua-dua negara yang boleh dibekalkan kepada 1,118,000 orang. - Gambar hiasan
JAKARTA: Dalam usaha untuk membanteras penyeludupan dadah rentas sempadan, Kastam Malaysia dan Indonesia mengumumkan rampasan pelbagai jenis dadah sebanyak 247.9 kilogram (kg) sepanjang Julai.
Tindakan penguatkuasaan melibatkan operasi terkoordinasi untuk memutuskan rangkaian pengedaran dadah di beberapa kawasan sempadan kedua-dua negara yang boleh dibekalkan kepada 1,118,000 orang.
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) berjaya merampas 112.3 kg dadah pelbagai jenis dalam 41 operasi di Sarawak dan Sabah.
Jumlah rampasan itu, termasuk 86 kg methamphetamine, 17.1 kg ketum, 7.2 kilogram ganja dan dua kg ketamin.
Timbalan Ketua Pengarah Penguatkuasaan dan Pematuhan Ribuan Abdullah menekankan peranan penting kerjasama antarabangsa dalam memerangi penyeludupan dadah.
"JKDM komited untuk meningkatkan kerjasama dan memudahkan perkongsian maklumat risikan dengan Direktorat Jenderal Bea dan Cukai Indonesia (DJBC), terutamanya di Kalimantan," katanya kepada Bernama di sini, pada Khamis.
Sementara itu, DJBC merampas 102.6 kg methamphetamine, 1.14 gram ganja, 60,000 pil ekstasi, dan 130 miligram ganja sintetik 4-Fluoro-MDMB-BUTINACA dalam 12 kes di wilayah Kalimantan.
"Peningkatan aktiviti penyeludupan dadah memerlukan pengawasan lebih ketat dan diselaraskan di lintas sempadan rasmi dan lokasi laluan penyeludupan," kata Pengarah Interdiksi Narkotik DJBC, R. Syarif Hidayat.
Kemuncak kerjasama terkoordinasi JKDM dan DJBC tahun ini ditandai dengan acara penutupan 'Joint Task Force on Narcotics' yang diadakan di Ibu Pejabat DJBC di Jakarta Timur pada Rabu.
Hadir sama Kaunselor Kastam Kedutaan Besar Malaysia Ahmad Talib dan Ketua Subdirektorat Analisis dan Sasaran, Direktorat Interdiksi Narkotik, Hengky Tomuan Parlindungan Aritonang.
Operasi JTF dari 1 hingga 31 Julai disasarkan di Kalimantan Barat, Indonesia, yang bersempadan dengan Sarawak, Malaysia serta Kalimantan Timur yang bersempadan dengan Sabah.
Kerjasama itu mencerminkan komitmen kukuh JKDM dan DJBC dalam melindungi masyarakat daripada dampak aktiviti penyeludupan dadah di sempadan Malaysia-Indonesia yang semakin meningkat.
-- BERNAMA
#Malaysia #Indonesia #kastam #operasi dadah