Kastam Lahad Datu kutip hasil RM150.63 juta tahun 2018

Bernama
September 5, 2019 04:40 MYT
Bangunan baharu JKDM Lahad Datu bernilai RM21.7 juta. -Facebook JKDM-Lahad-Datu
Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Lahad Datu mencatat kutipan RM150.63 juta hasil cukai pada tahun lepas, kata Timbalan Ketua Pengarahnya, Datuk Zulkefli Ibrahim.
Katanya, angka pungutan itu disasarkan bertambah pada tahun ini berdasarkan beberapa faktor penyumbang kepada prestasi hasil JKDM Lahad Datu iaitu pertumbuhan kawasan industri sawit serta pembangunan rumah kedai.
"Di samping itu, ia turut dipengaruhi oleh kerancakan pengeksportan barang-barang berasaskan industri perladangan kelapa sawit," katanya pada majlis penyerahan projek siap pembinaan Pejabat JKDM Lahad Datu di sini, pada Khamis.
Dalam pada itu, Zulkefli berkata JKDM sebagai pemacu ekonomi negara mesti melaksanakan penambahbailan signifikan bagi memantapkan keupayaan serta kapasiti organisasi untuk meningkatkan kecekapan sistem penyampaian perkhidmatan kastam.
"Dengan adanya pejabat baharu ini yang lebih selesa, diharapkan pegawai serta anggota kastam dapat memberikan satu komitmen tinggi dalam menghasilkan perkhimatan berkualiti, berinovasi, dan memenuhi jangka harap pelanggan serta pemegang taruh," katanya lagi.
Hari ini, JKDM Lahad Datu menerima sebuah blok bangunan dua tingkat bernilai RM21.7 juta, yang dilengkapi kemudahan termasuk stor barangan rampasan, dewan seminar serta surau.
Projek pembinaannya mendapat kelulusan Kementerian Kewangan pada tahun 2014 di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 dengan kos siling RM23.38 juta.
Projek Pejabat JKDM Lahad Datu ini dapat disiapkan 26 hari lebih awal dari tarikh siap semasa yang dijangka pada Mac 2019 dan projek ini sekali gus mendapat sijil menduduki (OC) pada Julai 2019 selepas melalui pelbagai prosedur.
Pejabat Kastam lama terletak di Jalan Kastam, yang dikelilingi dengan pelbagai kilang termasuk kilang proses kelapa sawit, kilang simen dan kilang tepung.
-- BERNAMA
#hasil cukai #Jabatan Kastam Diraja Malaysia #JKDM #Kementerian Kewangan #Lahad Datu #Zulkefli Ibrahim
;