Kastam Kelantan patah cubaan seludup 2.5 juta batang rokok dari Vietnam
Bernama
Julai 16, 2023 16:43 MYT
Julai 16, 2023 16:43 MYT
KOTA BHARU: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup 2.5 juta batang rokok yang ditinggalkan dalam sebuah lori di tepi Jalan Kuala Kemasin, Bachok, Selasa lepas.
Pengarah JKDM Kelantan Wan Jamal Abdul Salam Wan Long berkata hasil intipan pada 1 pagi, pihaknya menemukan rokok putih berjenama itu disyaki diseludup masuk melalui jalan laut di dalam sebuah lori lima tan.
"Siasatan mendapati kesemua rokok itu dianggarkan bernilai RM208,000 di pasaran tempatan manakala jumlah cukai terlibat adalah sebanyak RM1,736,800," katanya pada sidang media di pejabat JKDM di sini, hari ini.
Beliau berkata siasatan di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 diteruskan bagi mengesan pemilik rokok serta lori yang ditinggalkan.
Wan Jamal Abdul Salam berkata modus operandi penyeludup adalah menggunakan laluan laut di pesisir pantai bagi membawa rokok sebelum dimuatkan ke dalam lori untuk diedarkan kepada pelanggan di pasaran tempatan.
"Kesemua rokok disyaki dibawa dari Vietnam dan kita tidak menolak kemungkinan pembabitan nelayan asing dalam kegiatan tersebut, namun setakat ini tidak mempunyai maklumat yang jelas.
"Berdasarkan jumlah rokok yang banyak berkemungkinan ia akan dibawa ke Lembah Klang untuk dipasarkan," katanya.
-- BERNAMA