Kastam gagalkan cubaan seludup rokok diikrar tin cendawan babitkan nilai cukai RM6.5 juta
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 10, 2022 13:13 MYT
Ogos 10, 2022 13:13 MYT
BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang berjaya menggagalkan cubaan pihak tertentu menyeludup rokok dengan membuat ikrar palsu membabitkan nilai cukai RM6.5 juta.
Kejayaan itu hasil kerjasama Cawangan Siasatan Khas dan Bahagian Penguatkuasa JKDM Pulau Pinang dengan kerjasama Unit Kawalan Kontena Pelabuhan Klang, Selangor selepas mendapat maklumat awam dan hasil risikan.
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Ramli memberitahu, rokok terbabit ditemukan dalam sebuah kontena yang ditahan pada 1 Ogos lalu di Pelabuhan Utara, Klang.
"Setelah diperiksa kita dapati sejumlah 10.2 juta batang rokok putih yang disyaki adalah 'uncustom' barang yang masih lagi tidak berkastam.
"Dan daripada pemeriksaan kita buat anggaran dari documentation (dokumentasi) kita dapat anggaran nilai kepada rampasan ini adalah RM816,800 dan cukai yang terlibat adalah sejumlah RM6,542, 569..." katanya.
Mengulas lanjut, Abdul Halim berkata, berdasarkan siasatan awal pihaknya mendapati kontena tersebut dikendalikan sebuah syarikat perkapalan yang mempunyai cawangan di Pelabuhan Klang dan diimport sebuah syarikat berpangkalan di Kuala Lumpur.
Berdasarkan pemeriksaan pada dokumen, dagangan berkenaan disyaki berasal dari sebuah negara di Asia Timur.
Bagi mengelirukan pihak berkuasa, pengirim yang menghantar kontena tersebut memberi maklumat palsu dengan mengikrarkan dagangan itu sebagai tin cendawan dalam borang import.
"Transaksi dan pergerakan dagangan ini adalah dengan mengikrar dan mengemukakan maklumat yang tidak betul dan maklumat yang mengelirukan kerana dagangan yang kita jumpa yang rokok putih ni telah diikrar sebagai 'can mushroom' dan ia meragukan," katanya pada sidang media di Stor Penguatkuasaan Kastam Bagan Jermal, Butterworth pada Rabu.
Setakat ini hanya ejen penghantaran dikesan dan pihak kastam percaya akan ada tangkapan dilakukan selepas siasatan lanjut selesai.
Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak kurang dari 10 kali ganda nilai barang atau RM100,000 atau dihukum penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-dua sekali.
Kesalahan mengelak duti eksais pula disiasat mengikut Seksyen 74(1)(e) Akta Eksais 1976.