Kastam arah kontena dari Israel keluar dari negara ini

Adie Sufian Zulkefli
Jun 5, 2024 10:00 MYT
Hasil semakan bersama pihak agensi kerajaan lain, JKDM mendapati kontena yang cuba memasuki Kompleks ICQS Padang Besar itu dilarang berbuat demikian kerana dipercayai milik syarikat berpangkalan dari Israel. - Foto JKDM Perlis
PADANG BESAR: Jabatan Kastam DiRaja Malaysia (JKDM) Negeri Perlis mengarahkan sebuah lori kontena yang baharu tiba di Padang Besar pada Ahad lalu berpatah balik ke Thailand selepas didapati kontena yang dibawa adalah berasal dari Israel.
Pengarah Kastam Negeri Perlis, Ismail Hashim berkata, kejadian berlaku sekitar jam 12.03 tengah hari Selasa, selepas kenderaan itu memasuki terowong mesin pengimbas di Unit Dagangan Jalan Raya, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar.
Ia bertujuan membuat pengikraran Borang K1 bagi melakukan pengimportan dagangan ke dalam negara ini.
"Semasa proses imbasan imej itu, pengendali mesin pengimbas itu mengesan kontena yang digunakan adalah berasal dari Israel berdasarkan logo ZIM yang tertera pada badan dinding luar kontena itu.
"Kami kemudiannya menahan lori kontena itu bagi mendapat pengesahan dan pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ismail berkata, hasil semakan bersama pihak agensi kerajaan yang lain mendapati kontena itu dilarang memasuki negara ini kerana dipercayai milik syarikat berpangkalan dari Israel.
"Disebabkan itu juga, kami segera mengarahkan lori kontena yang berisi barang dagangan berkenaan berpatah balik ke negara jiran pada hari yang sama.
"Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, dadah, kenderaan dan lain-lain.
"Mereka malah dinasihatkan agar tidak membabitkan diri dengan aktiviti itu," katanya.
Beliau berkata, penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi ketirisan hasil, malah turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.
#kontena dari Israel #Kompleks ICQS Padang Besar #Kastam Perlis #penyeludupan
;