Kaspersky: Malaysia catat ancaman siber yang rendah pada suku kedua 2022

Bernama
Ogos 19, 2022 19:13 MYT
Ancaman siber di Malaysia menunjukkan aliran penurunan, dengan 11 juta kes direkodkan pada suku kedua 2022 berbanding 28.9 juta pada suku kedua tahun lalu. - Gambar hiasan/REUTERS
KUALA LUMPUR: Ancaman siber di Malaysia menunjukkan aliran penurunan, dengan 11 juta kes direkodkan pada suku kedua 2022 berbanding 28.9 juta pada suku kedua tahun lalu, menurut data daripada Kaspersky Security Network (KSN).
Dalam satu kenyataan, Kaspersky berkata rakyat Malaysia kini lebih peka terhadap laman sesawang palsu atau pautan mengandungi virus yang dikongsi melalui perkhidmatan pesanan ringkas (SMS), e-mel dan panggilan telefon; sambil menambah ancaman perisian hasad yang merebak melalui pemacu universal serial bus (USB) boleh alih turut menurun pada suku tersebut.
Pengurus Besar Kaspersky Asia Tenggara, Yeo Siang Tiong percaya pengguna kini lebih berhati-hati dalam mengklik pautan.
"Tetapi sebenarnya, kesedaran dan tindakan adalah dua perkara berbeza. Semua orang harus memasang aplikasi keselamatan pada peranti mudah alih mereka, kerana mereka memainkan peranan penting dalam menyediakan jaringan keselamatan terhadap serangan kejuruteraan sosial yang menular seperti pancingan data (phishing)," katanya.
Menurut Kaspersky, terdapat beberapa langkah asas yang boleh diambil bagi mengurangkan risiko serangan siber.
"Jangan log masuk ke akaun sensitif di khalayak ramai. Apabila anda berada di rangkaian awam pada bila-bila masa, hadkan penggunaan peranti mudah alih anda kepada aktiviti yang tidak mendedahkan sebarang maklumat sensitif anda dan jika terdapatnya e-mel atau pesanan yang kelihatan mencurigakan, tolong jangan buka.
"Pengguna perlu tahu bahawa perisian tebusan adalah perkara biasa pada peranti mudah alih, yang mana penjenayah siber akan menyekat akses kepada peranti tersebut dan meminta wang tebusan untuk membukanya.
"Cara terbaik untuk mengelakkan perisian tebusan ini adalah dengan memuat turun aplikasi secara bijak. Perlu memuat turun melalui stor rasmi dan laman sesawang yang boleh dipercayai," katanya lagi.
-- BERNAMA
#Kaspersky #ancaman siber #godam #laman sesawang #virus #SMS #e-mel #Internet #Yeo Siang Tiong
;