Kasino Forest City: Siasatan terhadap Bloomberg bukan atas arahan kerajaan - Fahmi

Pia Ernadya
Mei 8, 2024 17:55 MYT
Fahmi berkata, siasatan itu adalah hasil laporan polis yang dibuat oleh firma guaman yang mewakili syarikat dikaitkan dalam laporan Bloomberg itu. - Gambar/ Bernama
PUTRAJAYA: Siasatan yang dilakukan terhadap wartawan Bloomberg berhubung laporannya tentang dakwaan penubuhan kasino di Forest City itu bukan atas arahan kerajaan, tegas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil.
Menurutnya, siasatan itu adalah hasil laporan polis yang dibuat oleh firma guaman yang mewakili syarikat dikaitkan dalam laporan Bloomberg itu.
"Untuk makluman, berdasarkan laporan media yang saya teliti... laporan polis yang dibuat adalah daripada pihak syarikat melalui firma guaman mereka jadi ia bukan daripada pihak kerajaan.
"Jadi kerajaan tidak mengeluarkan apa-apa arahan untuk menyiasat tetapi disebabkan ada laporan, maka laporan itu diambil oleh pihak polis dan tindakan siasatan dilakukan mengikut proses," katanya kepada pemberita semasa sidang media pada Rabu.
Terdahulu, wartawan Bloomberg dipanggil ke Bukit Aman berhubung artikel perancangan pembinaan kasino di Forest City, Johor untuk memberi keterangan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain juga memaklumkan bahawa siasatan dijalankan susulan satu laporan yang dibuat peguam ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan berhubung artikel berunsur fitnah yang bertajuk 'Malaysia Mulls Casino at Forest City: Bloomberg.'
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998.
#kasino #Forest City #Bloomberg #Fahmi Fadzil
;