'Kasihanilah Mat Tere, dia bukan pengganas' - Ibdilillah
Astro Awani
Februari 9, 2017 20:06 MYT
Februari 9, 2017 20:06 MYT
Masyarakat terutama dari Johor diminta tidak terlalu emosi dalam isu rakaman video yang didakwa menghina institusi diraja Johor oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Muhamad Zul Apis Baharom atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Tere.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Ibdilillah Ishak berkata, semua pihak perlu bertenang memandangkan keadaan Mat Tere sendiri adalah seorang insan yang 'istimewa'.
"Saya simpati dengan nasib yang menimpa seorang anak muda kurang upaya dikenali sebagai Mat Tere yang ditahan oleh pihak Polis Kelantan kerana dipercayai mengeluarkan kenyataan jelik terhadap Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
"Anda tidak perlu untuk mengenali Mat Tere secara dekat untuk mengetahui dia adalah dari golongan kurang upaya.
"Di dalam video tersebut, jelas sekali Mat Tere telah dieksploitasi dan dianiayai oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
Pada Rabu, Mat Tere yang berusia 29 tahun ditahan di hadapan sebuah hotel di Jalan Pendek, Kota Bharu, Kelantan kerana didakwa mengeluarkan kenyataan jelik kepada Tunku Ismail.
Bagaimanapun, keluarga Mat Tere merayu pihak berkuasa supaya tidak memanjangkan kes berhubung rakaman video yang didakwa menghina institusi diraja Johor itu.
Menurut sepupunya Yusrizam Ahmad, Mat Tere merupakan seorang yang tidak mempunyai akal panjang dan dikategorikan sebagai kurang cerdik serta sering menurut apa sahaja yang disuruh orang tanpa mengambil kira akibatnya.
Dalam pada itu, Ibdilillah percaya kepada kebolehan dan kepakaran Polis Kelantan untuk mengendalikan berkenaan.
"Saya juga yakin bahawa pihak polis Kelantan mempunyai pertimbangan untuk memberikan keadilan sewajarnya buat seorang insan yang 'istimewa'.
"Kita juga perlu bersatu hati menggesa pihak berkuasa untuk mengenal pasti dan menyiasat dalang disebalik rakaman video tersebut.
"Pihak berkuasa seharusnya lebih tegas dan bijaksana. Mat Tere tidak sepatutnya ditahan di dalam lokap, sebaliknya perlu diletakkan di pusat psikiatri buat seketika untuk diberi rawatan yang secukupnya," jelasnya.
Tambahnya, langkah itu merupakan sebaik-baik penyelesaian buat insan istimewa seperti Mat Tere.
"Golongan istimewa atau OKU ini adalah sebahagian daripada keindahan ciptaan Allah. Semoga Allah mengasihani dan melindungi insan yang teraniaya. Mat Tere bukan seorang penjenayah ataupun pengganas.
"Mat Tere adalah seorang insan yang istimewa dan tidak memudaratkan keselamatan sesiapa. Apa sahaja yang diungkap olehnya dalam video tersebut pastinya dibuat tanpa dia sendiri mengetahui akibat yang akan menimpa dirinya. Bebaskan Mat Tere," tegasnya.
Mat Tere kini ditahan di lokap IPK Kelantan dan dijangka dibawa ke Johor Bharu untuk reman dan siasatan.
Ketua Polis Johor Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd dilaporkan berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
#Ibdilillah
#Mat Tere
#Muhamad Zul Apis Baharom
#TMJ
#Tunku Ismail Sultan Ibrahim
#Wan Ahmad Najmuddin Mohd
#yusrizam ahmad