Kasih Malaysia hulur sumbangan kepada Pusat Jagaan Titian OKU Nur

Bernama
September 12, 2023 21:24 MYT
Pengerusi Kasih Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penghuni pada program Kunjungan Merdeka Kasih 2023 di Pusat Jagaan Titian OKU Nur, Rawang hari ini. - Foto BERNAMA
RAWANG: Pertubuhan Kebajikan Amal Silaturahim Isteri-Isteri Harapan Malaysia (Kasih Malaysia) hari ini menyumbang RM10,000 kepada Pusat Jagaan Titian OKU Nur di sini antaranya bagi membaik pulih pusat jagaan berkenaan.
Sumbangan itu disampaikan isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam kunjungannya ke pusat jagaan warga emas dan orang kurang upaya (OKU) itu.
Kasih Malaysia turut menyumbang barangan keperluan seperti bakul makanan, lampin, cadar dan berus gigi kepada penghuni pusat jagaan tersebut.
Dr Wan Azizah yang juga Pengerusi Kasih Malaysia berkata pertubuhan itu sentiasa prihatin dalam membantu menjaga kebajikan warga emas dan golongan memerlukan di negara ini.
"Kita akan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu golongan ini, kita ada hasrat dan niat untuk membantu orang yang memerlukan," katanya kepada pemberita di sini.
Dalam pada itu, pengasas Pusat Jagaan Titian OKU Nur Norma Adlan berterima kasih dengan sumbangan berkenaan yang dapat membantu pusat jagaan dengan 90 penghuni termasuk empat pekerja itu.
-- BERNAMA
#Kasih Malaysia #sumbangan #Pusat Jagaan Titian OKU Nur #Dr Wan Azizah Wan Ismail
;