KASA sedang baik pulih lebih 400 kilometer paip uzur di Kelantan - Tuan Ibrahim
Bernama
November 12, 2022 18:06 MYT
November 12, 2022 18:06 MYT
KOTA BHARU: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sedang membaik pulih paip uzur sepanjang lebih 400 kilometer (km) di seluruh Kelantan dengan peruntukan berjumlah RM218 juta, kata Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata daripada jumlah itu sebanyak 106.2 km paip uzur jenis simen asbestos (AC) telah digantikan secara berperingkat.
"Jumlah keseluruhan penggantian paip uzur AC di Kelantan dianggarkan sepanjang 4,491 km yang mana penggunaannya boleh menjangkau 35 hingga 40 tahun, jadi paip air di Kelantan telah mencecah lebih 40 tahun.
Oleh itu, kita ketika ini sedang menggantikan paip uzur di beberapa kawasan bagi memastikan bekalan air bersih dapat disalurkan kepada rakyat Kelantan," katanya pada sidang media harian Perikatan Nasional, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata terdapat empat Loji Rawatan Air (LRA) yang dibina di Kelantan telah mula beroperasi dengan kapasiti sebanyak 44 juta liter sehari.
"Antara Pembinaan LRA yang mula beroperasi adalah Kampung Teluk, Kota Bharu berkapasiti 30 juta liter sehari, LRA Mini Telok Mesira, Bachok berkapasiti dua juta liter sehari.
Apabila semua LRA baharu beroperasi dengan kapasiti penuh, kadar liputan bekalan air di Kelantan dijangka dapat ditingkatkan daripada 73.1 peratus kepada lebih 80 peratus," katanya.
Beliau berkata KASA turut akan membina empat lagi LRA baharu di Kelantan yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2025 dengan peruntukan sebanyak RM664.8 juta.
Empat LRA baharu tersebut adalah Chicha Fasa 2, Tanjung Mas, Bukit Chupak dan Tok Bali.
-- BERNAMA