KASA sasar bina Denai Sungai Kebangsaan sepanjang 10,000 km

Zulfa Mohamad
September 2, 2022 20:26 MYT
Program DSK berteraskan alam semula jadi bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat setempat mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar terutama sungai. - Gambar hiasan/ Bernama
KEPALA BATAS: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) menyasarkan untuk membina 10,000 kilometer (km) denai sepanjang sungai bagi program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) menjelang 2030.
Lima daripada DSK terbabit dilaksanakan di Pulau Pinang sehingga hujung tahun ini dengan DSK Sungai Muda di Permatang Bendahari, Penaga, dekat sini, sebagai projek perintis.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, sebanyak RM10 juta diperuntukkan bagi melaksanakan program DSK di seluruh negara dengan Pulau Pinang menerima RM900,000 melalui peruntukan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa).
"Program DSK berteraskan alam semula jadi bertujuan membangkitkan kesedaran masyarakat setempat mengenai kepentingan menjaga kelestarian alam sekitar terutama sungai.
"Kita mensasarkan 10,000 kilometer denai untuk program DSK di seluruh negara dan kini baru mencapai 30 peratus," katanya selepas Majlis Perasmian DSK @ Sungai Muda di Permatang Bendahari, hari ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri Penaga, Mohd Yusni Mat Piah dan Timbalan Ketua Pengarah (Sektor Bisnes) Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Datuk Sabri Abdul Mulok.
Sehingga kini, sebanyak 295 denai merangkumi 671.1 kilometer (km) panjang di seluruh Malaysia didaftarkan di bawah program DSK dengan Pulau Pinang mempunyai 37 denai sepanjang 71.4 km.
Sementara itu, menurut Mansor, pihaknya mengalu-alukan kerjasama Lestari Khazanah Alam Pulau Pinang (Lekas), sektor swasta dan komuniti setempat untuk turut serta menjaga kebersihan sungai kerana ia sumber air utama selain untuk kepentingan generasi akan datang.
"DSK Sungai Muda sepanjang empat kilometer (Fasa 1) misalnya memberi manfaat kepada komuniti setempat seperti Permatang Bendahari, Bakau Tua, Pulau Mertajam dan Kuala Muda.
"Penduduk boleh memanfaatkan denai di sepanjang sungai berkenaan untuk beriadah dan menjalankan kegiatan sosial," katanya.
#Denai Sungai Kebangsaan
;