KASA peruntuk RM100,000 elak hakisan tanah lebih serius di Kampung Pohon Celagi

Bernama
Februari 19, 2021 06:01 MYT
Ahmad Masrizal (kanan) mendengar penerangan semasa tentang tanah runtuh daripada Ketua Jajahan Pasir Mas Nik Mohamed Noor Nik Ishak (kiri) semasa membuat lawatan tanah runtuh di Kampung Pohon Celagi, Pasir Mas, 19 Feb, 2021. --fotoBERNAMA
PASIR MAS: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) memperuntukkan RM100,000 sebagai tindakan segera bagi menangani berlakunya hakisan tanah lebih serius susulan kejadian runtuhan tebing Sungai Kelantan berhampiran Dataran Air Muleh, di Kampung Pohon Celagi, di sini, Rabu lepas.
Timbalan menterinya Senator Datuk Dr Ahmad Masrizal Muhammad berkata wang bantuan awal itu digunakan untuk membeli kanvas kalis air bagi menutup sepanjang 200 meter tebing sungai yang telah runtuh di lokasi kejadian.
"Pihak KASA perlu mengambil dua langkah drastik, pertama dengan menutup kawasan tebing sungai yang telah runtuh dengan kanvas kalis air untuk hindar atau menyekat satu hakisan yang lebih serius," katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian, di sini, semalam.
Sementara langkah kedua, Ahmad Masrizal berkata pihak KASA melalui Jabatan Pengairan Saliran (JPS) akan menjalankan satu kajian forensik berhubung pengurusan tebingan sungai sepanjang dua kilometer di tebing sungai berkenaan.
"Selepas dibuat perbincangan maka, kerja baik pulih kawasan ini perlu dibuat dengan lebih sistematik. Maka satu kajian forensik pengurusan tebingan ini perlu dibuat bagi menghasilkan penyelesaian yang lebih konkrit untuk jangka masa panjang di tempat kejadian tersebut.
"Saya yakin kajian forensik ini juga tidak akan mengambil masa yang lama dan kita telah membuat perbincangan antara kerajaan Pusat melalui JPS dan dengan kerajaan negeri untuk memastikan ia dapat disiapkan secepat mungkin," katanya.
Beliau berkata kejadian tebing sungai runtuh itu seolah memberi peringatan awal supaya pihak berkaitan menguruskan Sungai Kelantan dengan lebih baik serta tuntas bagi mengelakkan kejadian sama berlaku di kawasan lain.
"Soal di mana berlakunya kejadian ini adalah di luar jangkaan, maka saya berharap setiap mangsa terlibat boleh bersabar dan mengambil pendekatan dengan jadikan ia sebagai satu pengajaran juga kepada tempat-tempat lain di sekitar Sungai Kelantan ini.
"Sungai Kelantan ini panjang dan mungkin kejadian sebegini adalah salah satu amaran awal untuk tempat-tempat lain berwaspada," tambahnya sambil memberitahu punca sebenar berlakunya bencana itu masih dalam siasatan.
Pada Khamis, media melaporkan sebanyak empat rumah telah musnah susulan kejadian tebing runtuh di Kampung Pohon Celagi yang berlaku sejak Rabu lepas dan kesemua 45 keluarga merangkumi 98 orang yang mendiami kawasan berkenaan telah dipindahkan ke kawasan selamat.
-- BERNAMA
#Ahmad Masrizal Muhammad #KASA #Kementerian Alam Sekitar dan Air #bantuan #kanvas #kalis air #tebing sungai #Sungai #tebing runtuh #runtuh #tanah runtuh #Pasir Mas #Kampung Pohon Celagi #Sungai Kelantan #kajian forensik #pengurusan tebingan #baik pulih #hakisan
;