KASA arah semua jabatan, agensi siap sedia hadapi banjir
Bernama
September 22, 2022 16:20 MYT
September 22, 2022 16:20 MYT
DUNGUN: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengarahkan semua jabatan dan agensi di bawahnya melakukan persiapan sebaik mungkin bagi menghadapi banjir yang diramal berlaku berikutan musim Monsun Timur Laut tidak lama lagi.
Menterinya Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata antara yang sedang dilakukan adalah pemasangan pam air, penyelenggaraan pintu air dan kerja-kerja mendalamkan kawasan takungan air di lokasi berisiko banjir oleh Jabatan Pengairan dan Saliran.
"Kami (KASA) pantau supaya semua aset dapat digunakan pada waktu banjir nanti. Terdapat ratusan kawasan 'hotspot' banjir dikenal pasti di seluruh negara. Ada kawasan kami pasang pam air bergerak, ada yang kami pasang pam air kekal dan selenggara pintu air sebelum menghadapi musim tengkujuh ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun di Dewan Sivik Bijangga di sini hari ini.
Sementara itu, menurut Tuan Ibrahim kementerian juga sedang membina kira-kira 50 empangan sabo secara berperingkat di kawasan berisiko kepala air di seluruh negara.
Katanya empangan tersebut yang berfungsi sebagai penahan puing termasuk bongkah batuan dan kayu serta melambatkan aliran air, akan dapat mengurangkan impak tragedi kepala air.
Terdahulu, beliau berkata Projek Pemuliharaan Muara Sungai Dungun yang dilancarkan hari ini akan bermula pada 26 Sept ini dan dijangka siap 25 Mac 2027.
Menurutnya projek bernilai RM242.97 juta itu, merangkumi kerja-kerja pengorekan alur pelayaran, serta pembinaan struktur pemecah ombak, struktur dinding penahan lapis lindung pantai dan 'groin' iaitu struktur hidraulik yang dibina secara berserenjang bagi mengurangkan kesan pukulan ombak pada pantai, selain pembinaan lampu tanda arah suar.
Katanya objektif utama projek ini adalah bagi mengatasi kejadian mendapan di muara sungai berkenaan yang tidak selamat untuk navigasi bot nelayan dan bot pelancongan ke Pulau Tenggol.
"Keadaan menjadi bertambah buruk semasa musim Monsun Timur Laut apabila angin kencang dan gelombang kuat menyebabkan kerosakan bot dan risiko kehilangan nyawa, selain pemendapan itu turut mengurangkan keupayaan sungai mengalirkan air ke laut dan mengakibatkan banjir.
"Saya berharap projek ini dapat membantu 500 buah bot berdaftar di muara Sungai Dungun menjalankan aktiviti perikanan dan pelancongan dengan selamat serta bebas daripada masalah kerosakan bot, seterusnya menjana ekonomi tempatan. Risiko banjir pantai juga akan dapat dikurangkan melibatkan hampir 5,000 penduduk tempatan," katanya.
-- BERNAMA