KASA ambil tindakan segera tangani masalah banjir di Janda Baik
Sinar Harian
Mei 15, 2022 06:47 MYT
Mei 15, 2022 06:47 MYT
NIBONG TEBAL: Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah melakukan penilaian bagi kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan berhubung masalah banjir kilat di Janda Baik, Pahang.
Timbalan Menterinya, Datuk Mansor Othman berkata, tindakan segera sudah diambil Ketua Setiausaha Kementerian (KSU), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta pihak berkaitan termasuk mengenal pasti punca berlakunya banjir.
Menurutnya, beberapa pelan jangka pendek dan panjang akan diambil bagi mengatasi masalah banjir dari berulang di kawasan berkenaan.
"Kementerian melalui KSU Datuk Seri Zaini Ujang telah turun ke padang meninjau kedudukan dan menyelaras kerja-kerja pembaikan dan penambahbaikan.
"Kita telah kenal pasti punca berlakunya banjir dan mengambil tindakan untuk jangka pendek dan jangka panjang termasuk bekerjasama dengan jabatan lain bagi tangani isu ini sebaik mungkin," katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Nibong Tebal di Dewan Serbaguna Jawi pada Ahad.
Hadir sama, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Sebelum ini media melaporkan Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan agar kerajaan negeri bekerjasama dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi menyegerakan pelaksanaan kerja-kerja membersih dan mendalamkan sungai yang menjadi punca banjir kilat di sekitar Janda Baik, Bentong, baru-baru ini.
Baginda turut menitahkan agar disegerakan pelaksanaan Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Bentong serta Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) di Bentong termasuk pembinaan Stesen Telemetri dan Stesen Amaran Banjir di huluan kawasan Janda Baik.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.