Karya seni mampu jadi alat perpaduan kaum

Bernama
Februari 3, 2023 12:00 MYT
AARON AGO DAGANG: Seni adalah satu cara kalau kita lihat apabila artis daripada pelbagai kaum dan kumpulan etnik datang bersama berkumpul dalam program seperti ini, itu salah satu cara untuk menyemarakkan perpaduan. -Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Karya seni mampu dijadikan sebagai wadah penyatuan kaum dalam negara menuju ke arah Malaysia Madani, kata Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Beliau berkata hasil seni yang baik boleh mengumpulkan segenap lapisan masyarakat untuk bersama-sama menikmati karya dihasilkan terutamanya jika ia membawa mesej bertemakan perpaduan dan kenegaraan.
"Seni adalah satu cara kalau kita lihat apabila artis daripada pelbagai kaum dan kumpulan etnik datang bersama berkumpul dalam program seperti ini, itu salah satu cara untuk menyemarakkan perpaduan.
"Madani bermakna beradab...kita ingin membawanya ke tahap lebih tinggi, sebab masih banyak kita perlu tambah baik dalam kalangan masyarakat dari segi keterampilan, kemampanan, trust dan respect dalam kita menuju ke arah masyarakat Madani," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pameran seni 'Unity' di Shoppes Four Seasons Place, di sini, pada Khamis.
Pameran seni bertemakan perpaduan berlangsung sehingga 15 Feb ini memberi peluang kepada artis tempatan termasuk artis kurang upaya, kanak-kanak dan ekspatriat untuk menampilkan karya mereka kepada orang ramai dan pembeli yang berminat.
-- BERNAMA
#karya seni #Aaron Ago Dagang
;