Karya Kassim Ahmad perlu lebih dihargai - Dr Chandra Muzaffar
Irwan Muhammad Zain
Februari 11, 2014 14:17 MYT
Februari 11, 2014 14:17 MYT
Masyarakat terutama generasi muda digesa lebih menghargai karya-karya yang dihasilkan sasterawan dan pemikir, Kassim Ahmad.
Presiden International Movement of Just World (JUST), Dr Chandra Muzaffar berkata sumbangan Kassim dalam bidang sastera dan agama harus diberi perhatian kerana karyanya mengajak pembaca berfikir.
Dr Chandra berkata, dalam tahun 60an dan 70an, karya-karya yang dihasilkan oleh Kassim bukan hanya dibaca oleh masyarakat tetapi turut dibincangkan kerana masyarakat ketika itu menghargai peranan yang dimainkan oleh sasterawan dan pemikir.
"Malangnya sejak akhir-akhir ini, dalam lewat tahun 80an hinggalah sekarang, masyarakat mula tidak memberi perhatian terhadap karya-karya seperti yang dihasilkan oleh Kassim Ahmad.
"Malang sekali kerana, Kassim merupakan anak tempatan yang berani dalam karyanya dan beliau memberi sumbangan kepada masyarakat menerusi tulisannya tidak kira dalam dunia sastera dan agama," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Kerana merasakan masyarakat perlu lebih menghargai karya Kassim, beberapa sahabat tokoh itu menganjurkan satu seminar bertemakan Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian yang akan diadakan pada 15 dan 16 Februari ini.
Dr Chandra berkata seminar tersebut akan membincang dan menilai secara kritis sumbangan Kassim, dari tiga aspek iaitu sastera, politik dan agama serta falsafah.
"Kami (sahabat-sahabat Kassim) menganjurkan seminar ini kerana merasakan sumbangan tokoh seperti Kassim dipinggirkan daripada arus perdana.
"Kami merasakan sumbangan Kassim perlu diberi tempat yang sewajarnya dalam masyarakat dan berharap usaha kami ini akan menggalakkan masyarakat kita menyatakan penghargaan mereka terhadap tokoh-tokoh lain dari masa lampau sehingga masakini," katanya lagi.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad Mohamad telah menyatakan kesudian untuk merasmikan seminar Pemikiran Kassim Ahmad ini pada Sabtu ini, 15 Februari.
Beberapa tokoh sastera, politik dan agama akan membentangkan kertas kerja mereka tentang pemikiran Kassim.
Kassim juga akan menyampaikan ucapan bertajuk “Hala Tuju Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang” pada Ahad, 16 Februari.
Seminar dua hari itu akan diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana dan satu program Deklamasi Sajak juga turut diaturkan pada malam 15 Februari.
_____________________
Maklumat lanjut mengenai Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian boleh dirujuk kepada mohdzamer76@hotmail.com atau nikazizhassan@hotmail.com atau sms ke 017-2999045 (En. Zamer)