Karya agung A. Samad Said di pentas antarabangsa
Bernama
September 19, 2024 08:00 MYT
September 19, 2024 08:00 MYT
KUALA LUMPUR: Setelah menunggu lebih dua dekad, akhirnya Sasterawan Negara Datuk Seri A. Samad Said memberi kebenaran kepada Pertubuhan Seni Nusantara (NuArt) dan Titian Teater Ilham Seni (TITIS) mementaskan teater yang diadaptasi daripada puisinya Rumah Kosong.
Pengarah teater, Iryanda Mulia Ramly berkata, Rumah Kosong yang telah melalui proses penyusunan penceritaan selama lebih 20 tahun itu akan dipentaskan di Singapura pada 20 dan 21 Sept ini.
"Naskhah ini telah melalui beberapa fasa yang panjang dan sentiasa dirujuk kepada Pak Samad. Akhirnya beliau sendiri berasakan sudah tiba masanya untuk merestui naskhah ini. Setelah dipersetujui, barulah kami boleh teruskan projek pementasan ini," katanya dalam kenyataan, pada Rabu.
Iryanda Mulia berkata, teater yang diadaptasi daripada kumpulan puisi Benih Harapan itu merupakan satu langkah penting dalam usaha memperluas pengaruh sastera Malaysia, seterusnya memperkenalkan karya agung Sasterawan Negara tersebut kepada khalayak antarabangsa.
"Persembahan di Singapura itu dibuat atas undangan khas Variasi Performing Arts bersempena dengan Ruang II - Rentas Sastera Nusantara, selepas mereka menonton teater berkenaan semasa kami mementaskannya buat kali pertama di Universiti Teknologi Malaysia, Skudai pada Oktober tahun lepas.
"Mereka telah jatuh hati dengan naskhah ini dan mengundang kami untuk membuat pementasan di sana," katanya.
Beliau berkata, walaupun naskhah itu berlatarbelakangkan zaman sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua, apa yang ditulis dalam kumpulan puisi tersebut masih relevan dengan isu semasa dan boleh dipegang sebagai peringatan oleh masyarakat.
"Pementasan ini menyingkap pengalaman manusia seperti harapan seorang ibu yang menanti kepulangan anak, rintihan seorang kekasih yang merindukan kehidupan berkeluarga serta kekecewaan seorang lelaki yang mendambakan keamanan di tengah-tengah kehancuran perang.
"Kami berharap pementasan ini akan menjadi jendela kepada dunia untuk melihat betapa kuatnya pengaruh sastera Malaysia dalam merakamkan peristiwa sejarah serta emosi kemanusiaan," katanya.
Antara pelakon yang membarisi persembahan menggabungkan puisi penuh emosi dengan seni persembahan teater itu ialah Dila Abdul Halim, Fazreen Mohd, Shasha Masella, Syura Hazmi dan Azwan Ahmadi,
Pementasan itu disokong oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Tenaga Nasional Berhad, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara dan Indah Water Konsortium.
Selain Rumah Kosong, Ruang II - Rentas Sastera Nusantara turut menampilkan teater Bayangan oleh Variasi Performing Arts (Singapura) dan Srikandi Jiwa oleh Sanggar Seni Lembayung (Indonesia), dan bagi mereka yang berminat boleh menghubungi Pegawai Perhubungan Mariana Samsudin di talian 017-316 7995 atau e-mel: balaiseninusantara@gmail.com untuk maklumat lanjut. - BERNAMA