Kartina Tahir Thomson wanita Malaysia pertama ketuai Institut dan Fakulti Aktuari

Astro Awani
Mac 30, 2023 20:29 MYT
Kartina Tahir Thomson bakal menjadi wanita Malaysia pertama dilantik sebagai Presiden IFoA. - Gambar actuaries.org.uk
KUALA LUMPUR: Pengarah Kanan Willis Towers Watson (WTW) Kartina Tahir Thomson bakal menjadi wanita rakyat Malaysia pertama dilantik sebagai Presiden Institut dan Fakulti Aktuari (IFoA).
Dalam satu kenyataan pada Rabu, IFoA mengumumkan pelantikan Kartina sebagai presiden berkuat kuasa mulai Jun 2024.
“Kartina mempunyai karier berpelbagai dalam termasuk menyumbang enam tahun di Bank England, di mana beliau mengawal selia portfolio firma-firma insurans yang bertanggungjawab atas kestabilan kewangan pasaran UK.
“Sebelum itu, Kartina pernah menjawat sebagai Ketua Pegawai Risiko di sebuah syarikat insurans dan juga mengetuai bahagian Risiko dan Analitik bagi sebuah broker insurans global,” jelas kenyataan itu.
Kenyataan itu menjelaskan, Kartina juga pernah menganggotai Lembaga Pengarah Persatuan Aktuari Eropah selama empat tahun.
Mengulas mengenai pengumuman itu, Kartina menggambarkan pelantikannya sebagai satu amanah yang diberi oleh ahli-ahli majlis.
“Dengan memupuk budaya yang berkolaborasi dan inklusif, kita dapat mendalamkan impak bidang ini di UK dan peringkat antarabangsa, serta terus membuat perubahan dalam menangani cabaran-cabaran kemasyarakatan yang kita depani,” katanya.
IFoA merupakan badan profesional bagi aktuari di UK yang bertanggungjawab menetapkan standard dan kod tatakelakuan buat aktuari di seluruh dunia.
#Kartina Tahir Thomson #IFoA #kod tatakelakuan #kestabilan kewangan
;