Kartel rokok: Kajian semula ke atas rantaian pembekalan perlu dilakukan - Akhbar Satar

Astro Awani
April 15, 2021 14:04 MYT
Akhbar turut mencadangkan agar prosedur operasi standard (SOP) semua agensi penguatkuasaan ditambah baik bagi mengatasi masalah tersebut. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kajian semula secara mendalam ke atas rantaian pembekalan yang tidak terhad kepada perkapalan, agen forwarding, agen kastam, pengimport hendaklah dilakukan bagi memastikan titik kelemahan dapat diperketatkan dan menghalang peluang untuk salah guna kuasa.
Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia (ACFE) , Datuk Seri Akhbar Satar mencadangkan perkara itu dalam usaha menangani super kartel rokok seludup yang telah merugikan negara.
Akhbar turut mencadangkan agar prosedur operasi standard (SOP) semua agensi penguatkuasaan ditambah baik bagi mengatasi masalah tersebut.
"Sistem penggiliran kakitangan yang berkesan seharusnya wujud di kawasan rasuah tinggi seperti Pelabuhan, lapangan terbang dan sempadan darat. Adalah penting untuk memastikan bahawa individu yang ditugaskan memikul tugas khusus itu adalah benar-benar jujur bagi menguatkuasakan undang-undang. Mereka seharusnya dipantau secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Beliau juga mencadangkan dilaksanakan program pendidikan bagi mewujudkan kesedaran dan mengingatkan semua lapisan rakyat mengenai masalah rasuah, hendaklah dilaksanakan.
"Kerajaan juga seharusnya melihat kepada kaedah menambah baik kemudahan dengan teknologi canggih seperti pengimbas paling terkini dan CCTV di tempat keluar masuk yang disyaki. Persekitaran kerja yang baik, akan menambah baik produktiviti,” katanya lagi.
Akhbar juga berkata, turut sama penting bagi menangani permasalahan akar umbi yang menyemarakkan perluasan rokok seludup di Malaysia dari perspektif polisi.
“Polisi-polisi yang memperkasa agensi penguatkuasaan kita, mengalakkan pegawai melaksanakan tugas mereka dengan bermaruah dan tanpa takut dan menghalang petualang daripada perspektif risiko keuntungan hendaklah dipertimbangkan bagi melawan super kartel ini.
"Malaysia tidak mampu kehilangan satu sen lagi kerana kita memerlukan duit untuk memulihkan negara daripada situasi ekonomi semasa. Lagi pun, dengan sekadar persepsi wujud super kartel beroperasi di negara kita, akan mengurangkan hasrat negara luar dan syarikat asing untuk berdagang dengan Malaysia,” katanya.
Malaysia pada masa ini adalah teratas di dunia untuk perdagangan rokok seludup, dimana enam daripada 10 rokok yang dijual di pasaran adalah produk haram.
Akibat penyeludupan rokok ini, Malaysia kerugian lebih daripada RM5 bilion setahun dari segi hasil cukai yang hilang akibat penyeludupan rokok ini.
#Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah Malaysia #ACFE #Akhbar Satar #penyeludupan #rokok #kerugian
;