'Kartel perolehan' TLDM: Pegawai TLDM dan pemilik syarikat ditahan
Siti Nur Aqilla Omar
Februari 13, 2024 19:32 MYT
Februari 13, 2024 19:32 MYT
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah menahan seorang pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan seorang pemilik syarikat susulan siasatan ke atas kes sindiket kartel kerja-kerja perolehan melibatkan sebuah kem TLDM di sini.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki, berusia 42 dan 55 tahun tersebut telah ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 4 petang tadi bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan.
"Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru pada jam 8.30 pagi esok bagi mendapatkan permohonan reman," kata sumber terbabit.
Sementara itu, Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Pada 18 Januari lalu, SPRM menahan tiga individu atas kesalahan tuntutan palsu dan menjadi dalang ‘kartel perolehan’ kepada 13 buah syarikat pembekal yang menguruskan kerja-kerja pembinaan di sebuah Kem TLDM melibatkan jumlah nilai perolehan keseluruhan melebihi RM9 juta.
Pembayaran penuh dikatakan telah dibuat meskipun pembinaan masih belum siap dengan sempurna.
Pada 19 Januari lalu pula, Panglima Tentera Laut, Tan Sri Abdul Rahman Ayob dilaporkan berkata TLDM mengesahkan beberapa anggotanya dipanggil SPRM susulan siasatan kes 'kartel perolehan' membabitkan kerja pembinaan di sebuah kem miliknya di Johor.
Tanpa mendedahkan identiti serta bilangan anggota terbabit, Abdul Rahman berkata mereka dipanggil untuk memberikan keterangan susulan siasatan yang dijalankan.