Kartel padi kawal industri - Sanusi

Sinar Harian
September 5, 2023 18:16 MYT
Muhammad Sanusi berkata, kartel ini akan bertindak dalam senyap tanpa disedari untuk mengawal industri selain meraih keuntungan berganda, sedangkan pesawah terus dihimpit kemiskinan. - Gambar fail
ALOR SETAR: Kartel padi didakwa sudah lama wujud dalam industri padi negara menyebabkan hasil padi dan pendapatan pesawah tidak meningkat seiring dengan peningkatan teknologi.
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kartel ini akan bertindak dalam senyap tanpa disedari untuk mengawal industri selain meraih keuntungan berganda, sedangkan pesawah terus dihimpit kemiskinan.
Menurutnya, ia juga antara punca rakyat kini berdepan kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran akibat didalangi kelicikan kartel padi.
“Untuk gambaran lebih jelas, apa yang berlaku ialah apabila diumumkan harga beras import semakin mahal dan tidak terkawal, kartel beras tempatan akan menukar stok beras tempatan menjadi beras import,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Selasa.
Muhammad Sanusi berkata, perbuatan itu menyebabkan golongan berkenaan mengaut keuntungan berbanding menjual beras putih tempatan yang ditetapkan pada harga RM26/10 kilogram (sekampit).
“Beras tempatan dijual RM26 dibandingkan beras import sehingga RM39, tidak mustahil berlaku penipuan dengan menukar bungkusan atau label beras putih tempatan kepada beras putih import dan dijual pada harga jualan runcit beras putih import.
“Tukar pembungkus bukan kerja payah berbanding mengerjakan sepetak sawah padi. Jadi kartel beras hanya perlu salin pembungkusan,” jelasnya.
Menurutnya, seterusnya ia menyebabkan beras tempatan akan berkurangan dan mencetuskan polemik bekalan selain berlaku peningkatan harga beras di pasaran.
“Demikianlah kartel dan para ‘naga’ memimpin kerajaan. Bukan kemungkinan lagi (wujud kartel padi), memang ada,” tegasnya.
Jumaat lepas, Bernas menyelaraskan harga jualan beras putih import seluruh negara daripada RM2,350/tan kepada RM3,200/tan sejajar harga terkini beras putih import di pasaran antarabangsa.
Ini menyebabkan beras import semakin mahal selain bekalan beras tempatan berkurangan akibat mendapat permintaan tinggi.
Situasi itu juga turut disumbangkan oleh faktor segelintir pengilang atau pemborong yang didakwa menukar bungkusan atau label beras putih tempatan kepada beras putih import.
Pada Mei 2022, Muhammad Sanusi pernah membangkitkan kemungkinan wujudnya kartel padi susulan model penanaman padi diusahakan Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) mampu mencapai hasil 7.8 tan sehektar, berbanding purata hasil padi sedia ada sebanyak enam tan sehektar.
Menurutnya, perbezaan hasil padi tersebut mencurigakan kerana kedua-duanya menggunakan sumber, benih dan pengairan yang sama.
Justeru, Muhammad Sanusi mengisytiharkan untuk memerangi kartel padi di negeri ini sekiranya pihaknya berjaya menghidu aktiviti tersebut. - Sinar Harian
#kartel padi #sanusi #Menteri Besar Kedah #bekalan beras
;