Kartel harga makanan ayam: MyCC kenakan penalti RM415.5 juta kepada lima syarikat

Bernama
Disember 22, 2023 17:25 MYT
MyCC mengenakan penalti berjumlah sekitar RM415.5 juta kepada lima syarikat pengisar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) hari ini mengenakan penalti berjumlah sekitar RM415.5 juta kepada lima syarikat pengisar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.
MyCC dalam kenyataan memaklumkan lima syarikat itu ialah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup); FFM Berhad (FFM); Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin); Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).
"Siasatan MyCC dari Januari 2020 hingga Mac 2022 mendedahkan potensi gangguan dalam pasaran makanan ayam dengan pelbagai bukti dalam bentuk pengumuman harga, corak harga dan komunikasi dalam kalangan perusahaan," menurut kenyatan itu.
MyCC memaklumkan siasatannya mendedahkan bukti kenaikan kuantum harga makanan ayam yang serupa antara perusahaan-perusahaan terbabit di antara Januari 2020 hingga Jun 2022 selain mendapati lima perusahaan itu menggunakan strategi dengan menyatakan kenaikan kos makanan ayam disebabkan peningkatan perbelanjaan bahan mentah.
Menurut kenyataan itu, perbualan WhatsApp dan log panggilan yang ditemui semasa penyiasatan menunjukkan hubung kait yang ketara dengan tarikh-tarikh pengumuman harga dan ia menguatkan lagi kes berkenaan amalan komunikasi dan keputusan penetapan harga.
FFM dikenakan penalti sebanyak RM42.69 juta; Gold Coin (RM97.51 juta); Leong Hup (RM157.47 juta); PK Agro (RM47.8 juta) dan Dindings (RM70.02 juta).
Selain penalti, MyCC juga mengarahkan lima syarikat terbabit untuk menghentikan penyertaan daripada terlibat dalam kartel makanan ayam dan mengemukakan laporan mengenai peningkatan dan penurunan harga makanan ayam.
"FFM, Gold Coin dan Dindings perlu meningkatkan tahap program latihan pematuhan undang-undang persaingan mereka dan mendaftarkan pekerja dan ahli lembaga mereka manakala PK Agro dan Leong Hup perlu mendaftarkan pekerja dan ahli lembaga mereka dalam program pematuhan undang-undang persaingan.
"Perusahaan-perusahaan perlu memasukkan peruntukan dalam Kod Tingkah Laku yang mengakui bahawa keterlibatan dalam pelanggaran Undang-undang Persaingan sebagai salah laku," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCC Iskandar Ismail berkata kartel adalah "kejahatan" tertinggi dalam undang-undang persaingan dan satu bentuk sabotaj ekonomi di peringkat tertinggi, terutamanya di dalam kes berkepentingan awam.
"Kami masih memantau industri ayam sejak keputusan kerajaan baru-baru ini untuk menghentikan subsidi dan kawalan harga ayam. Kami berharap pengajaran daripada kes ini akan menjadi penghalang kepada semua terutamanya bakal-bakal kartel," katanya.
Beliau berjanji pihaknya akan terus bertindak menghapuskan kartel seperti yang ditugaskan kepada MyCC tanpa rasa takut atau pilih kasih.
-- BERNAMA
#kartel #harga makanan ayam #MyCC #penalti
;