Kartel daging: SPRM jejaki dalang utama, penguat kuasa lindungi kegiatan
Umavathi Ramayah
Januari 4, 2021 14:08 MYT
Januari 4, 2021 14:08 MYT
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang mengesan dalang utama termasuk penglibatan anggota penguat kuasa yang melindungi penyeludupan daging sejuk beku yang dibawa masuk secara haram.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi berkata, pihaknya sedang mengkaji dokumen dan akaun syarikat yang terlibat dalam isu penyeludupan itu bagi mengesan pihak-pihak yang terlibat.
"Siasatan SPRM bertumpu kepada dua aspek. Pertama, berhubung kesalahan mengemukakan pengisytiharan palsu dalam borang Kastam No. 1 oleh syarikat pengimport dan ejen yang mengendalikan kemasukan bahan mentah sejuk beku ini.
"Aspek kedua ialah meneliti dan mengkaji sebarang bentuk pembayaran rasuah melalui akaun-akaun syarikat yang terlibat. Dalam setiap penyiasatan, elemen kerahsiaan dan kejutan adalah penting.
"Sekiranya sesuatu kes mendapat pendedahan yang luas di media massa, katanya, ia seolah-olah memberi peluang kepada mereka (perasuah dan pemberi) untuk melupuskan semua bukti serta keterangan yang ada," katanya di sini pada Isnin.
Empat individu termasuk dua pengarah syarikat ditahan reman empat hari bermula hari ini berhubung isu kes penyeludupan bahan mentah sejuk beku yang dikatakan dibawa masuk secara haram.
Keempat-empat suspek yang berusia 39 hingga 50 tahun itu ditahan malam Sabtu di pejabat SPRM Johor Bahru.
Dalam pada itu, Ahmad Khusairi juga menjelaskan tindakan berdiam diri bukan bermaksud agensi-agensi yang terlibat dalam penyiasatan tidak mengambil tindakan.
Sebaliknya, beliau berkata, pengumpulan bukti dan keterangan memerlukan masa dan analisa yang teliti.
"Kalau terlalu membincangkan isu ini dalam media, maka ia akan merumitkan penyiasatan dan memberikan persepsi negatif kepada masyarakat," katanya.
Mengulas mengenai tangkapan ke atas empat suspek, Ahmad Khusairi Yahaya berkata, penahanan itu adalah hasil serbuan di beberapa syarikat pengimport bahan mentah sejuk beku di Johor.
Menurutnya, sejak dua minggu yang lalu, pihaknya telah melakukan beberapa siri serbuan dan merampas dokumen-dokumen pengimportan sejak tahun 2015.
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#kartel daging
#ditahan reman
#dalang utama
#SPRM
#penguat kuasa