Kartel daging: Pengarah syarikat pembekal daging sejuk beku didenda RM1.6 juta

Astro Awani
Februari 22, 2023 19:15 MYT
Pengarah Syarikat LY Frozen Food, Yong Chee Keong, mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan syarikat sejuk beku itu. - Gambar fail
JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen Johor Bahru, pada Rabu, menjatuhkan hukuman denda RM1.6 juta terhadap sebuah syarikat pembekal daging sejuk beku dan pengarahnya, yang terbabit dalam kes kartel daging, lebih dua tahun lalu.
Keputusan dibuat Hakim Fatimah zahari selepas tertuduh, Pengarah Syarikat LY Frozen Food, Yong Chee Keong, 42 tahun, mengaku bersalah terhadap 14 pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan syarikat sejuk beku itu.
Hakim dalam keputusannya turut memerintahkan syarikat sejuk beku itu, yang diwakili Chee Keong, untuk membayar denda RM1.5 juta terhadap tujuh pertuduhan terhadap LY Frozen Food.
Manakala Chee Keong turut diperintahkan membayar denda RM100,000 terhadap tujuh pertuduhan sama terhadapnya ,di samping penjara enam bulan jika gagal bayar.
Sementara itu, pengurus syarikat terbabit, Chong Kim Kuang, 50 tahun, yang turut berdepan tujuh pertuduhan sama, dibebaskan dan dilepaskan oleh mahkamah susulan keputusan pihak pendakwaan yang menarik balik kesemua pertuduhan terhadap individu itu.
Bagaimanapun, mahkamah memerintahkan seorang lagi pengarah LY Frozen Food yang masih bebas, Tan Siew Huak, 44 tahun, supaya dilepas tanpa dibebaskan, sehingga dia ditemui.
Terdahulu pada 9 Februari 2021, kesemua tertuduh termasuk seorang yang masih bebas, didakwa menggunakan, memiliki dan menawarkan 3,418 kotak makanan sejuk beku
Dengan menggunakan perihal dagangan palsu tanpa kelulusan dua badan pensijilan halal dari Australia selain menggunakan logo halal palsu tanpa kebenaran.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Taman Perindustrian Desa Idaman, Senai, Kulai di sini antara 1 hingga 3 Disember 2020.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 5(1)(a), Seksyen 5(1)(c) Akta Perihal Dagangan 2011, Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Mohd Sophian Zakaria, Syazwani Zawawi, Mas Syafiqah Maarob dan Kee Shu Min.
Tertuduh pula diwakili barisan peguam Zamri Idrus dan Fadly Hashim.
#mahkamah #denda #pembekal daging sejuk beku #LY frozen food #daging tidak halal
;