Kartel daging: NFC hanya sensasi politik - Khairuddin

Astro Awani
Disember 30, 2020 15:27 MYT
Bagi Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang pernah terlibat secara langsung dalam usaha menyelesaikan isu NFC menegaskan, kes NFC sebenarnya banyak digembar-gemburkan dan disensasikan secara berlebihan. - fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR : Pendedahan kartel daging yang menggemparkan negara kebelakangan ini membuatkan nama National Feedlot Corporation (NFC) kembali disebut beberapa pihak.
Bagi Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan yang pernah terlibat secara langsung dalam usaha menyelesaikan isu NFC menegaskan, kes NFC sebenarnya banyak digembar-gemburkan dan disensasikan secara berlebihan.
Tambahnya, banyak perkara ditokok tambah malah fakta yang tidak betul juga diada-adakan.
“Saya pernah terbabit dengan isu NFC untuk diselesaikan secara adil serta saksama demi kepentingan bagi menrealisasikan agenda food security negara kita.
“Sebab itu pada zaman pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, beliau tidak pernah bersikap emosional atau berdendam tetapi berpegang pada prinsip keluhuran bagi menyelesaikan semua permasalahan secara ‘menang menang’.
BACA: Kartel daging: Pemuda PN syor tiga langkah tuntas
“Setelah berpuas hati dengan ‘findings’ sebenar dan memahami segala bentuk kengkangan yang dihadapi oleh NFC sebelum ini maka satu formula ‘amicable solution’ dipersetujui secara konsensus oleh semua pihak yang terbabit,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
BACA: Seludup daging: Penubuhan RCI langkah terbaik - Zulkifli
Tambahnya, kajian dan siasatan secara mendalam dilaksanakan sebelum memanggil semua pihak duduk semeja untuk mencari formula penyelesaian terbaik demi kepentingan negara.
Dalam pada itu, beliau menegaskan pihak berkuasa harus menyiasat dengan segera kenyataan Presiden Jaringan Melayu Malaysia (JMM), Hamdan Salleh yang mendakwa ada ahli politik terlibat dalam kartel daging yang menggemparkan negara, baru-baru ini.
[INFOGRAFIK] Kronologi Kartel Daging
Menurutnya, apa sahaja salah laku dalam produk pemakanan yang berkaitan dengan soal halal dan haram tidak boleh dikompromi sama sekali.
“Ini adalah soal makanan yang amat penting kepada keseluruhan umat Islam di tanahair kita.
“Penipuan mengenai ‘halal’ serta ‘haram’ ke atas mana-mana produk makanan adalah pengkhianatan yang tidak boleh dimaafkan sama sekali bukan saja dari hukum duniawi tetapi juga sudut akidah agama Islam.
“Kenyataan Hamdan mesti disiasat secara komprehensif oleh semua pihak penguatkuasa undang-undang,” ujarnya.
#NFC #kartel daging #Mahathir Mohamad #Khairuddin Abu Hassan #Khairuddin #Halal #daging beku #siasatan #politik #Islam #presiden #Melayu #undang-undang #haram
;