Kartel daging: Kertas siasatan diserah kepada Pejabat Peguam Negara dua minggu lepas - SPRM Johor
Astro Awani
Mac 15, 2021 18:24 MYT
Mac 15, 2021 18:24 MYT
JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Johor sudah pun menyerahkan kertas siasatan berhubung kes kartel penyeludupan daging sejuk beku kepada Pejabat Peguam Negara dua minggu lalu.
Pengarahnya Datuk Azmi Alias berkata pihaknya kini sedang menunggu keputusan dari Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Katanya sejak Disember tahun lalu, pegawai SPRM telah melakukan siasatan secara terperinci dengan mengumpulkan bukti berkaitan kes terbabit.
Katanya, seramai 12 orang suspek termasuk pemilik syarikat, kakitangan agensi kerajaan dan penguatkuasa serta ejen penghantar telah ditahan sepanjang siasatan itu berlangsung.
"(Kertas siasatan) kes kartel daging telah disiapkan dan pada peringkat awal ini kita tak tahu lagi keputusan dari Pejabat Peguam Negara.
"Sekiranya sudah ada keputusan, kita akan buat tindakan lanjut,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Cakera Padat Pencegahan (CPP) di Ibu Pejabat SPRM Negeri Johor pada Isnin.
Pada awal Disember tahun lalu, negara digemparkan dengan kewujudan kegiatan kartel mengimport daging dari beberapa negara yang tidak halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual dan dibekalkan di pasaran tempatan.
Serbuan dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) bersama agensi-agensi lain di sebuah gudang di Senai, sekali gus mendedahkan kegiatan itu.