Kartel daging: Australia sedia beri kerjasama, sentiasa patuhi piawai - Pesuruhjaya Tinggi
Harits Asyraf Hasnan
Disember 30, 2020 15:08 MYT
Disember 30, 2020 15:08 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan Australia sedia memberi kerjasama sepenuhnya kepada Malaysia dalam siasatan berkaita kartel daging import yang dikesan ketika ini.
Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Andrew Goledzinowski berkata pihaknya amat prihatin terhadap isu tersebut yang kini menjejaskan keyakinan pembeli kepada produk dari negara tersebut.
"Kami mengikuti laporan media dan saya percaya perkara ini begitu dekat di hati rakyat Malaysia.
"Di pihak kami, pastinya kami tidak mahu perkara ini berlaku yang telah memberi kesan kepada kepercayaan rakyat Malaysia terhadap produk dari Australia.
"Saya difahamkan perkara ini sedang disiasat dengan diteliti oleh beberapa pihak berkuasa Malaysia dan Australia sedia untuk bekerjasama dengan pihak berkausa Malaysia dalam siasatan itu," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, Sebagai pengeksport terbesar daging sejuk beku ke Malaysia, kerajaan Australia akan sentiasa memastikan semua produk termasuk daging yang memasuki Malaysia memenuhi segala piawaian yang ditetapkan oleh kerajaan Malaysia.
"Kami sangat komited dalam perkara ini dan akan terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan semua agensi.
"Kami juga mempunyai hubungan yang sangat baik dengan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS).
"Kami akan terus memastikan semua produk yang memasuki Malaysia dari Australia akan 100 peratus mematuhi syarat halal, kesihatan dan keselamatan di Malaysia," ujarnya.
Tegasnya, itu komitmen yang sekian lama dilaksanakan dua buah negara dan akan terus diperkukuhkan pada masa mendatang.
#kartel daging
#daging import
#JAKIM
#MITI
#keselamatan
#kesihatan
#kerajaan
#rakyat Malaysia
#Australia
#Halal
#Andrew Goledzinowski
#Pesuruhjaya Tinggi Australia