Kartel daging: Apa yang kita tahu setakat ini
Astro Awani
Disember 30, 2020 17:57 MYT
Disember 30, 2020 17:57 MYT
PADA 2 Disember lalu, Sinar Harian membongkar modus operandi kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.
Berikut apa yang kita tahu tentang kartel daging import:
Kartel daging import terbongkar
Kegiatan itu dipercayai dijalankan sejak beberapa tahun lalu dengan menjadikan gudang tersebut sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula sebelum dijual di pasaran tempatan sebagai daging halal.
Sejumlah 1,500 tan daging sejuk beku bernilai RM30 juta telah disita dalam operasi yang diketuai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) itu.
Jakim jelaskan hanya benar import daging rumah sembelih diluluskan veterinar
Berikutan pendedahan Sinar Harian itu, pada 5 Disember, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Abdul Aziz Jusoh memaklumkan pengimportan daging dan produk daging hanya dibenarkan daripada rumah sembelih atau loji pemprosesan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Jakim sahaja.
Mengulas isu tersebut, Abdul Aziz berkata daging dan produk daging yang diimport juga perlu pengesahan halal dari badan pensijilan halal luar negara yang diiktiraf Jakim.
Menteri sahkan tiada daging babi
Akibat pendedahan itu, ramai yang meragui status halal daging itu dan timbul dakwaan bahawa terdapat daging babi yang dijual sebagai daging halal.
KPDNHEP memaklumkan pihak berkuasa tidak menemui sebarang daging babi di lokasi kejadian berkaitan kes kartel daging import haram di Johor, baru-baru ini.
Bagaimanapun, Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pegawai penyiasat dalam proses mengumpul bukti-bukti, mengambil keterangan dan rakaman percakapan saksi-saksi berkaitan kes berkenaan.
Jelas beliau, siasatan dilakukan di bawah Perenggan 8, Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011.
Gantung AP jika bersekongkol dengan kartel daging import haram palsu label halal
Pemegang Permit Import (AP) yang terbukti bersekongkol dengan kartel daging import haram akan dikenakan tindakan tegas termasuk digantung lesen, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Ronald Kiandee.
Buat masa ini, katanya siasatan berhubung kartel daging import haram itu termasuk sekiranya terdapat pemegang AP dan penjawat awam terlibat sedang dijalankan oleh pihak berwajib.
SPRM buka kertas siasatan
Berikutan pendedahan tentang kartel daging import, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor telah membuka satu kertas siasatan berhubung isu penyeludupan daging import atau kartel daging import.
Menurut sumber SPRM, siasatan akan dijalankan di bawah Seksyen 16 dan Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.
Jakim jadi sasaran kemarahan
Selepas pendedahan Sinar Harian, semakin banyak media yang mendedahkan tentang kartel daging import hingga terdapat laporan daging daging kuda dan kanggaru diimport.
Malah terdapat laporan yang mengatakan sindiket ini telah beroperasi sejak 40 tahun lalu. Pendedahan ini menyebabkan pengguna kecewa dan marah dengan pihak berkuasa yang menyebabkan kartel daging import ini terus beroperasi sehingga ia didedahkan.
Jakim didakwa gagal menangani isu kartel daging tidak halal hingga ada yang mencadangkan agar jabatan itu perlu dirombak secara besar-besaran dengan melantik mereka yang kompeten, berkebolehan dan berintegriti.
Dewan Negara bahas usul isu daging haram
Pada 29 Disember, Dewan Negara membenarkan usul berkenaan isu kartel daging haram untuk dibahaskan.
Yang Dipertua Dewan Negara Tan Sri Rais Yatim berkata perkara itu akan dibahaskan mengikut Peraturan 17(1) dengan pihak pencadang dibenarkan untuk membahas tidak melebihi 30 minit dan pihak kerajaan untuk menjawab dalam tempoh yang sama.
Tiada daging kanggaru, kuda dan babi ditemui
KPDNHEP mengesahkan bahawa tiada daging kuda, kanggaru atau babi ditemui susulan rampasan di sebuah gudang di Senai pada awal bulan ini.
Ketika menggulung perbahasan usul berkait isu kartel daging haram di Dewan Negara pada Selasa, Timbalan Menteri KPDNHEP, Datuk Rosol Wahid memaklumkan perkara itu diperoleh hasil laporan pensampelan yang dilakukan oleh Jabatan Kimia.
Penubuhan RCI berkaitan isu penyeludupan daging
Penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan isu penyeludupan daging yang menyalahgunakan logo halal adalah langkah terbaik bagi menyiasat isu tersebut.
Dalam satu kenyataan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata usaha dan hasrat yang murni ini telah dipersetujui dengan pihak terlibat dan dilihat penting demi kemaslahatan umat Islam di Malaysia.
Senarai pengimport dikeluarkan awal Januari
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan senarai pengimport daging yang diberikan lesen untuk memasarkan daging halal di negara ini akan dikeluarkan dalam tempoh seminggu.
Beliau, berkata bagaimanapun pihaknya mungkin terpaksa mengambil lebih masa kerana perbincangan lanjut bersama pihak lain masih dijalankan.
[INFOGRAFIK] Kronologi Kartel Daging
#daging import
#kartel daging
#JAKIM
#KPDNHEP
#RCI
#dedah
#Siasat
#Dewan Negara
#Rais Yatim
#Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia
#SPRM