Kartel beras: Kerajaan tidak akan lindungi sesiapa - Mohamad
Afiezy Azaman
Mac 20, 2024 10:30 MYT
Mac 20, 2024 10:30 MYT
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak akan berkompromi atau melindungi mana-mana individu atau pihak yang terlibat sekiranya terbukti kewujudan kartel beras putih tempatan, tegas Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan itu, pemantauan sentiasa dilakukan berhubung isu kartel atau monopoli seperti mana tindakan diambil terhadap syarikat harga makanan ayam sebelum ini.
"Terdapat badan pemantau - Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan mereka telah mengambil tindakan sebelum ini terhadap syarikat yang dikatakan monopoli penetapan harga makanan ayam.
"Mengenai beras, sekarang ini mereka (MyCC) sedang memantau sekiranya ada di peringkat mana benda (kartel) itu dan jika wujud mereka akan mengambil tindakan.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) tidak ada nak melindungi sesiapa dalam hal ini kalau ada misalnya monopoli ada yang dituduh itu kerana ia sentiasa dipantau," katanya kepada Astro AWANI, pada Rabu.
Sebelum ini, Pengerusi Task Force (Kluster Makanan) Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal mendakwa, terdapat kartel beras putih tempatan membabitkan empat hingga lima syarikat di negara.
Katanya, syarikat-syarikat berkenaan dipercayai bertindak mengawal jual beli padi dan makanan ruji itu sehingga berlaku kekurangan bekalan di pasaran serta peningkatan harga.
Jelasnya, maklumat itu diperoleh hasil daripada libat urus yang dijalankan bersama pesawah, pengilang, pemborong, peruncit dan pengguna.