Kartel: Bekalan ayam cukup sehingga Ramadan, Aidilfitri - Mohamad Sabu

Ridauddin Daud
Disember 23, 2023 14:00 MYT
Bekalan ayam, telur dan bahan mentah lain dijamin mencukupi sepanjang musim perayaan bermula Tahun Baru Cina sehingga Aidilfitri tahun depan. - Gambar hiasan
KLANG: Di sebalik penalti dikenakan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) terhadap lima syarikat dikaitkan dengan kartel makanan ayam, bekalan bahan mentah di pasaran terutama ayam dijamin tidak terjejas.
Jaminan itu disuarakan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.
Menurutnya, bekalan ayam, telur dan bahan mentah lain mencukupi sepanjang musim perayaan bermula Tahun Baru Cina sehingga Aidilfitri tahun depan.
Tambah beliau, kementeriannya dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa bekerjasama bagi memastikan bekalan mencukupi.
“Dua kementerian ini berpadu untuk menghadapi perayaan, terutama sekali yang paling dekat adalah Krismas. Krismas selalunya tidak melibatkan ayam yang banyak tapi Tahun Baru Cina ya.
“Kemudian diikuti oleh Ramadan dan Aidilfitri, Itu memang perlu ada keperluan yang mencukupi dari segi bahan makanan. Kita memang perlu bekerjasama.
“Ada, cukup, Insya-Allah, Cukup. Sentiasa ada...cukup,” katanya ketika ditanya mengenai jaminan mengenai bekalan ayam.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Konvensyen Nasional Amanah 2023 di sebuah hotel di Klang pada Sabtu.
Astro AWANI pada Jumaat melaporkan MyCC mengenakan penalti berjumlah sekitar RM415.5 juta kepada lima syarikat pengisar makanan ayam kerana melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.
MyCC dalam kenyataan memaklumkan lima syarikat itu ialah Leong Hup Feedmill (M) Sdn Bhd (Leong Hup); FFM Berhad (FFM); Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd (Gold Coin); Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd (Dindings) dan PK Agro-Industrial Products (M) Sdn Bhd (PK Agro).
"Siasatan MyCC dari Januari 2020 hingga Mac 2022 mendedahkan potensi gangguan dalam pasaran makanan ayam dengan pelbagai bukti dalam bentuk pengumuman harga, corak harga dan komunikasi dalam kalangan perusahaan," menurut kenyataan itu.
#Mohamad Sabu #kartel makanan ayam #bekalan ayam #Amanah
;