Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN dilancar sempena Hari Kebangsaan

Dewi Nur Harasha Alias
September 1, 2023 14:47 MYT
PTPTN mahu masyarakat memahami erti kemerdekaan bukan hanya sekadar bebas dari penjajahan semata-mata sebaliknya mereka perlu Merdeka daripada bebanan hutang.- Foto Astro AWANI
GEORGE TOWN: Bersempena dengan sambutan Kemerdekaan ke-66, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) buat julung kalinya melancarkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN bertujuan menyemarakkan lagi sambutan Hari Kebangsaan.
Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, “Selari tema Hari Kebangsaan ‘Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan', penglibatan masyarakat setempat dalam karnival tersebut adalah simbolik kepada rasa kasih dan cinta kepada negara.
Beliau berkata, PTPTN mahu masyarakat memahami erti kemerdekaan bukan hanya sekadar ‘bebas’ dari penjajahan semata-mata sebaliknya mereka perlu ‘Merdeka’ daripada bebanan hutang dan merancang kewangan untuk menikmati kualiti kehidupan yang lebih baik.
“Tujuan kita adakan karnival ini adalah untuk menyemai semangat kemerdekaan di kalangan rakyat Malaysia khususnya di kawasan Sungai Gelugor dan pada masa yang sama PTPTN ingin membuat promosi tabungan Simpan SSPN dimana kita merasakan hari Merdeka yang ke- 66 tahun ini, di bawah Kerajaan Malaysia Madani kita ingin mendidik rakyat Malaysia supaya kebergantungan kepada pinjaman ini dapat dihapuskan.
“Jadi dengan adanya Simpan SSPN ini, kita galakkan mereka untuk membuka akaun dan membuat tabungan seawal usia sehari supaya apabila mereka berumur 18 tahun nanti mereka dapat ‘free education'.
“Kita mahu mendidik masyarakat dimana mereka juga perlu ‘Merdeka’ dari segi pinjaman dan hutang, ini kerana kita tidak mahu rakyat Malaysia dibelenggu dengan pinjaman dan hutang, justeru kita perlu ‘merdekakan’ mereka dengan membudayakan penabungan seawal usia bagi tujuan pendidikan,” katanya selepas melancarkan Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN di Dewan Koperasi Sungai Gelugor, di Pulau Pinang pada Khamis.
Beliau turut menyampaikan sumbangan bantuan bakul makanan kepada 30 penerima sebelum menyertai Kayuhan Semarak Kasih Merdeka PTPTN 2023 sambil mengibarkan bendera Malaysia.
Norliza berharap karnival berkenaan menjadi platform bagi mengukuhkan lagi keharmonian dalam kalangan masyarakat sekali gus meningkatkan imej positif PTPTN di mata masyarakat.
Sementara itu, pengunjung menyambut baik usaha PTPTN menganjurkan program berkenaan yang secara tidak langsung memberi pendedahan berkenaan Skim Simpanan Pendidikan Nasional (Simpan SSPN).
Rosmaizana Omar berkata, skim SSPN itu memberi peluang kepada ibu bapa membuat persediaan awal untuk tabungan pembelajaran anak-anaknya.
“Saya sudah membuat persediaan awal untuk anak-anak saya dengan membuka akaun Simpan SSPN untuk mereka dan mula menyimpan dari awal untuk kemudahan mereka dimasa depan,” kata Rosmaizana.
“Simpan SSPN ini sangat membantu kita sebagai ibu bapa membuat persediaan awal untuk anak menyambung pelajaran apabila kita perlu menggunakan perbelanjaan yang besar nanti, sekurang-kurangnya kita sudah ada simpanan.
"Simpan SSPN ini sangat bagus, bukan apa waktu kita dulu tak ada peluang macam ini, jadi ini memang untuk kesedaran bagi ibu bapa, tak kira kita susah macamana pun kita perlu lah buat simpanan,” kata Rohailiza Omar.
Sempena karnival ini, pelbagai aktiviti disediakan antaranya pertandingan Mewarna Merdeka x Simpan SSPN, Pertandingan Puzzle Simpan SSPN, Pertandingan Pakaian Beragam dan lain-lain.
Selain itu, PTPTN turut mengadakan 'pocket talk' tentang kebebasan kewangan serta acara sukan rakyat yang bertujuan mengeratkan hubungan dan mendekati masyarakat setempat.
Karnival ini turut dimeriahkan dengan kerjasama rakan strategik melalui pembukaan booth promosi dan jualan seperti Jualan Agro Madani dari Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Negeri Pulau Pinang, KPJ Penang Specialist Hospital, Pejabat Kesihatan Daerah Timur Laut, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Pulau Pinang, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bayan Baru, Women Institution, ERAvengers, Pertubuhan Alumni Mahasiswa Pulau Pinang (AMPP) dan Pertubuhan Sejahtera Anak Malaysia (PERSAMA).
#PTPTN #Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional #Karnival Semarak Kasih Merdeka PTPTN #Hari Kebangsaan
;