Karnival Sekuriti Makanan @ Perak Sejahtera 2030 di Lubok Merbau Ahad ini
Bernama
September 3, 2022 08:30 MYT
September 3, 2022 08:30 MYT
IPOH: Karnival Sekuriti Makanan @ Perak Sejahtera 2030 di Dewan Millenium, Lubok Merbau kira-kira 30 kilometer (km) dari sini selama dua hari bermula Ahad ini, akan memberi peluang kepada pengunjung untuk membeli barangan keperluan harian berasaskan produk industri asas tani, makanan dan hiliran, pada harga lebih rendah berbanding di pasaran.
Sehubungan itu orang ramai dijemput bersama-sama memeriahkan karnival itu, anjuran Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dengan kerjasama Pejabat Menteri Besar Perak dan Jabatan Pertanian negeri.
Perak SADC dalam kenyataan pada Jumaat berkata pihaknya turut mengadakan sesi jualan 'Happy Hour' dengan kerjasama Kedai Bergerak Negeri Perak, melibatkan barangan dapur seperti ayam dengan harga serendah RM4 seekor, telur gred B berharga RM10 sepapan, serta ikan tilapia RM10 sekilogram.
"Karnival ini juga menawarkan produk industri asas tani berasaskan daging, sayuran, termasuklah buah-buahan dan anak pokok serta pelbagai lagi barang keperluan yang lain melibatkan pelbagai agensi kerajaan," menurut kenyataan itu.
Menurutnya selain aktiviti jualan, karnival itu turut menampilkan pameran-pameran pertanian serta pembukaan kaunter khidmat pelanggan daripada pelbagai agensi yang terlibat.
Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dijadual melancarkan Hala Tuju Pelan Tindakan Sekuriti Makanan Negeri Perak yang menjadi antara salah satu komponen atau program 'flagship' di dalam pelan Perak Sejahtera 2030, pada karnival itu.
Menurut kenyataan itu Saarani dijangka mengadakan sesi penerangan berkaitan Perak Sejahtera 2030 kepada para petani, penternak serta usahawan yang terlibat secara langsung dalam sektor terbabit.
Menurutnya karnival ini turut dimeriahkan dengan acara sampingan seperti program Kayuhan Perak Sejahtera membabitkan jarak sejauh lapan kilometer di kawasan sekitar Lubok Merbau.
Lebih menarik lagi, para peserta akan menanam anak pokok kelapa di sepanjang laluan kayuhan berkenaan, di beberapa lokasi tertentu seperti Kampung Labu Kubong, Kampung Rambong dan Kampung Lubok Merbau.
-- BERNAMA