Karnival Permotoran Ipoh disaran hiasi kalendar pelancongan Perak
Bernama
September 9, 2023 06:00 MYT
September 9, 2023 06:00 MYT
IPOH: Karnival Permotoran Ipoh yang mendapat sambutan hangat daripada peminat sukan itu akan disaran menghiasi kalendar pelancongan Negeri Perak pada tahun depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Loh Sze Yee.
Beliau berkata karnival itu dilihat mampu menarik pelancong dari dalam dan luar khususnya negara jiran yang meminati sukan permotoran.
"Program hari ini turut mendapat penyertaan pelancong luar seperti Singapura dan kita harapkan penganjuran yang lebih besar pada masa depan, kita akan bincang agar program ini dimasukkan dalam kalendar pelancongan sebagai antara program untuk menarik lebih ramai pelancong ke Perak," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Permotoran Ipoh 2023 di Stadium Indera Mulia pada Sabtu.
Loh juga berkata karnival dua hari itu, yang bermula Sabtu dari 10 pagi hingga 10 malam, dijangka menarik 20,000 pengunjung.
Katanya pelbagai acara telah disusun seperti pertunjukan kereta, perlumbaan drag dan jualan produk permotoran.
Beliau berkata kerajaan negeri juga sentiasa menjalin kerjasama dengan kementerian berkaitan dalam usaha merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Perak 2024.
Loh berkata selain memohon peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan, Perak merangka strategi yang mampu memberi kesan langsung sekali gus membantu memastikan keterhubungan destinasi pelancongan.
"Sebagai contoh, Kementerian Pengangkutan melalui Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), yang mengendali perkhidmatan tren elektrik (ETS), menyediakan perjalanan tambahan dari Ipoh ke Pulau Pinang serta berhenti di setiap stesen strategik seperti Kuala Kangsar dan Sungai Siput.
"Begitu juga perancangan kerajaan negeri melalui kerjasama Majlis Bandaraya Ipoh dengan syarikat penerbangan tambang murah milik penuh Singapore Airlines Group, Scoot, yang membawa masuk pelancong dari Jepun singgah di Singapura dan terus ke Ipoh tetapi ia tidak melibatkan peruntukan namun akan beri pulangan," katanya.
-- BERNAMA