Karnival MyPesara medan rai pesara, kenali keperluan alam persaraan

Israr Khalid
November 24, 2023 13:13 MYT
KWAP berharap untuk menjadikan Karnival MyPesara sebagai satu acara yang tidak hanya menghiburkan pengunjung, tetapi lebih penting, ada input yang bakal dibawa pulang untuk dimanfaatkan pesara dan seisi keluarga.
KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) [KWAP] akan menganjurkan Karnival MyPesara pada 25 dan 26 Nov ini di Dataran Karnival, Stadium Shah Alam.
Karnival tersebut merupakan satu inisiatif KWAP untuk meningkatkan kesedaran para pesara dan orang ramai tentang persediaan di alam persaraan dan membudayakan gaya hidup sihat di samping meraikan para pesara kerajaan atas jasa bakti perkhidmatan mereka kepada masyarakat dan negara.
Lebih 50 gerai pameran akan dibuka, membawakan pempamer yang meliputi aspek kesihatan, kewangan dan sebagainya, di mana para pengunjung dapat menimba ilmu pengetahuan tentang persaraan yang sejahtera.
Juga akan diadakan ialah Bazar MyPesara yang menampilkan usahawan-usahawan yang terdiri daripada golongan pesara, membawa produk-produk yang mereka usahakan, serta pelbagai aktiviti menarik seperti sesi perkongsian dan ceramah motivasi yang akan disampaikan penceramah terkemuka jemputan khas seperti Datuk Dr Fadzilah Kamsah dan Prof Madya Datuk Dr Mohd Farid Ravi Abdullah.
Karnival ini turut membawakan personaliti terkemuka tanah air antaranya Datuk M Nasir dan Anuar Zain untuk mewarnai dan memeriahkan lagi karnival dua hari tersebut yang akan berlangsung dari 9 pagi hingga 6 petang.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif KWAP Datuk Nik Amlizan Mohamed, karnival ini bermatlamat menjadi sebagai medan untuk memupuk budaya persaraan yang lebih bermakna.
“Selepas persaraan, pendekatan yang lebih terperinci perlulah diberikan terutamanya berkenaan perancangan kewangan, penjagaan kesihatan dan juga gaya hidup yang lebih produktif.
“Paling penting adalah karnival ini memberi peluang kepada bukan sahaja para pesara, tetapi juga kepada orang ramai untuk memperolehi maklumat mengenai pencen dan persaraan serta dapat lebih memahami kepentingan persediaan persaraan dari segi keperluan dan juga gaya hidup yang lebih aktif.”
Karnival ini akan membuka tirainya dengan acara Larian MyPesara yang terbahagi kepada empat kategori iaitu 500 meter Fun Run/Walk/Wheel-a-Thon, 3KM dan 5KM Fun Run/Walk/Wheel-a-Thon dan 10KM larian kompetitif yang terbuka kepada orang ramai. Penyertaan adalah percuma untuk warga berusia 55 tahun ke atas.
Besar harapan KWAP untuk menjadikan Karnival MyPesara satu acara yang tidak hanya menghiburkan para pengunjung, tetapi lebih penting adalah input yang bakal dibawa pulang untuk dimanfaatkan oleh para pesara dan seisi keluarga.
“Kami harap para pengunjung, terutamanya pesara yang hadir akan dapat membawa pulang ilmu yang menarik dan bernas untuk mereka guna pakai supaya alam persaraan mereka menjadi lebih aktif dan produktif, secara tidak langsung dapat terus berbakti kepada masyarakat.
“KWAP sebagai ‘Teman Persaraan Anda’ ingin terus berhubung dengan pesara dan ahli keluarga mereka untuk lebih memahami dan terus memberi khidmat yang lebih baik di masa hadapan.”
KLIK SINI untuk maklumat lanjut.
#KWAP #MyPesara #Karnival MyPesara #persaraan
;