Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs Perkeso 2024 manfaatkan 712 individu

Astro Awani
Mac 20, 2024 15:33 MYT
Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs Perkeso 2024 menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan daripada pelbagai industri termasuk RHB Bank, RHB Asset Management, PantangPlus, dan DHL Asia Pacific Shared Services. - Gambar Perkeso
KUALA LUMPUR: Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs Perkeso 2024: Tiada Yang Terpinggir berjaya membawa manfaat kepada seramai 712 individu dengan penempatan pekerjaan serta penganjuran temu duga kedua.
Karnival yang berlangsung dari 14 hingga 16 Mac di Kuala Lumpur Convention Center (KLCC) merupakan inisiatif sempena Sambutan Hari Wanita oleh Kementerian Sumber Manusia (Kesuma), seiring dengan Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac setiap tahun.
Lebih daripada 50 majikan turut mengambil tempat dalam karnival tersebut bagi menawarkan lebih 10,000 peluang pekerjaan daripada pelbagai industri termasuk RHB Bank, RHB Asset Management, PantangPlus, dan DHL Asia Pacific Shared Services.
“Hasil semakan Perkeso seramai 1,077 orang pencari kerja hadir ke karnival ini dengan 66 peratus yang hadir berjaya mendapat pekerjaan dan layak ke temu duga peringkat seterusnya dari majikan yang terlibat dalam karnival kerjaya ini,” jelas Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.
Jelasnya, karnival ini dilihat berkesan dalam meningkatkan akses kepada peluang pekerjaan terutamanya untuk wanita, serta menyokong kesaksamaan jantina dalam tenaga kerja negara.
Penyertaan majikan yang menawarkan fleksibiliti waktu bekerja dan kemudahan lain termasuk pusat jagaan kanak-kanak menjanjikan ruang pembangunan karier yang lebih luas untuk wanita pada masa hadapan.
Dalam pada itu, salah seorang pencari kerja yang hadir, Balqis Ali, berkongsi kisah kejayaannya selepas mendapat pekerjaan sebagai In-House Therapist di PantangPlus, dan menggalakkan wanita lain untuk mendaftar di MYFutureJobs bagi merebut peluang serupa.
Terdahulu, Sambutan Hari Wanita Kesuma dan Karnival Kerjaya Wanita MYFutureJobs Perkeso 2024: Tiada Yang Terpinggir ini telah dirasmikan oleh Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, Pengerusi Lembaga Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pekeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed pada 14 Mac lalu.
Perkeso menyeru pencari kerja yang sedang mencari pekerjaan untuk menyertai Karnival Kerjaya dengan mendaftar di https://myfuturejobs.gov.my/careerfair/ atau layari https://myfuturejobs.gov.my/ untuk carian pekerjaan secara atas talian.
Bagi majikan yang ingin menawarkan pekerjaan melalui portal MYFutureJobs, mereka juga boleh layari https://myfuturejobs.gov.my/.
#MyfutureJobs #perkeso #Karnival Kerjaya Wanita #Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO #Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed #Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat #Datuk Seri Nancy Shukri
;