Karnival Kerjaya BN mampu kurangkan kadar pengangguran di Sabah

Fifi Harteeny Marzuki
April 8, 2018 18:24 MYT
Pengurusi Pemuda BN Sabah, Yamani Hafez Musa (dua dari kanan), merasmikan Karnival Kerjaya BN di Pusat Membeli Belah ITCC, di sini, pada Ahad. Foto: Astro AWANI
Karnival Kerjaya Barisan Nasional (BN) membuka peluang pekerjaan yang lebih luas kepada masyarakat tempatan untuk mengurangkan kadar pengangguran di negeri ini.
Menurut Pengurusi Pemuda BN Sabah, Yamani Hafez Musa, penganjuran karnival ini dilihat sebagai batu loncatan untuk meningkatkan kebolehpasaran golongan belia sejajar dengan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
“Kerajaan negeri komited untuk membuka ruang dan peluang untuk golongan muda bagi mengetengahkan bakat dan pengalaman mereka demi memastikan mereka untuk diserap oleh majikan mereka.
“Saya percaya karnival ini akan memberi maklum balas yang baik dan mungkin kita boleh lakukan karnival ini setiap tahun.
“Kita tahu isu paling penting adalah peluang buat anak-anak muda untuk mendapatkan pekerjaan, dan kami mengambil perkara itu secara serius dengan tambah nilai aspek penting melalui karnival ini,” katanya selepas merasmikan Karnival Kerjaya BN di Pusat Membeli Belah ITCC, di sini, pada Ahad.
Sementara itu, Pengurus ITCC yang juga Penganjur lokasi Pemuda Karnival BN, Caesar Mandela Malakun berkata karnival yang dianjurkan ini menunjukkan sikap keprihatinan kerajaan terhadap masalah utama golongan belia yang sukar mendapat pekerjaan di negeri ini.
Jelasnya, peluang pekerjaan yang ditawarkan oleh syarikat terkemuka dan syarikat tempatan ini dilihat mampu menarik minat golongan belia dalam meningkatkan taraf hidup mereka.
Bagi Norfatin Asdin, 25, berkata, keputusannya untuk berhenti kerja sebagai guru tadika bukan tindakan sia-sia kerana karnival yang dianjurkan ini memberi peluang kepadanya untuk mencari pengalaman dalam bidang pekerjaan lain.
“Melalui karnival ini, ia mampu mengurangkan peratusan golongan belia yang menganggur sekaligus meningkatkan tahap ekonomi di negari ini,” ujarnya.
#Barisan Nasional #Belia #ekonomi #kerajaan #kerja #TN50
;